DARe bantu SHIKA

DARe bantu SHIKA

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 22 Mei – Penantian yang agak panjang bagi Syarikat Haji Idris Kalong (SHIKA) Sdn Bhd untuk mendapatkan kelulusan permohonan menaik taraf Kelas II kepada Kelas III daripada Divisyen Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan Dan Industri Pembinaan (ABCi) kini menemukan jalan penyelesaiannya dengan bantuan DARe (Darussalam Enterprise), baru-baru ini.

Pengerusi SHIKA Sdn Bhd, Dr Haji Jumat bin Haji Idris, hari ini, memberitahu Media Permata, beliau amat gembira menerima berita kelulusan Lesen Naik Taraf Kelas III itu kerana, menurutnya, ekoran terlewat kelulusan itu, memaksa beberapa kerja syarikat mereka tergendala.

Pengarah syarikat, Dayang Sufina binti Dr Haji Jumat pula memberitahu, mereka telah menghadapkan permohonan pada bulan Oktober tahun lalu, dan telah cuba untuk membuat aduan mengenai masalah mereka kepada DARe baru-baru ini, dan DARe kemudiannya memanjangkan masalah mereka itu kepada pihak berkenaan dan kini permohonan mereka telah diluluskan.

Menurutnya, syarikat tersebut mempunyai ramai kalangan pekerja-pekerja tempatan dan dengan adanya Kelass III itu nanti, mereka menyasarkan untuk mendapatkan kontrak yang lebih besar supaya mampu menempatkan lebih ramai pekerja tempatan, dengan harapan bukan saja memberikan mereka pekerjaan malahan turut memperbaiki diri dan meningkatkan prestasi hidup dalam kalangan pekerja tempatan.

Pengurus Am, Dayang Laila binti POKS DSP Haji Mohd Salleh juga memberitahu, dengan adanya Kelas III yang dipohonkan itu, syarikat berkenaan akan berpeluang menghadapan tawaran-tawaran kontrak yang lebih besar dan mampu meluaskan lagi skop peluang kerja kepada kalangan anak-anak tempatan.

Syarikat SHIKA Sdn Bhd, mempunyai matlamat untuk memberikan ruang lebih besar kepada pengambilan pekerja-pekerja tempatan.
Syarikat SHIKA Sdn Bhd, mempunyai matlamat untuk memberikan ruang lebih besar kepada pengambilan pekerja-pekerja tempatan.

“Syarikat ini mempunyai matlamat mahu menolong anak-anak tempatan, dan kami mahu menambahkan lagi daripada sejumlah lebih 200 orang pekerja anak-anak tempatan yang berkemahiran dan bekerja di kawasan luar pantai pada masa ini, kepada yang lebih ramai.

“Selain itu, kami akan menambahkan lagi tahap kemahiran mereka bukan saja dalam bidang Scaffolding tetapi juga di bahagian infrastruktur, termasuk di kalangan pekerja wanita yang ingin kami naikkan tahap kepada supervisor, melalui potensi yang mereka ada,” katanya.

DARe yang terus membukakan penerimaan aduan kes-kes yang berkaitan dengan perniagaan melalui Business Helpdesk dan melaksanakan perkhidmatan yang disediakan di Pusat Sokongan Perniagaan (BSC) telah merujuk isu kelewatan dan kekurangan maklumat mengenai permohonan naik taraf daripada Kelas II kepada Kelas III Syarikat SHIKA Sdn Bhd dan telah menyemak dengan agensi yang berkenaan.

Beberapa perkara penyebab yang dikenal pasti ialah keperluan maklumat tambahan daripada syarikat berkenaan, yang akhirnya telah dapat diatasi dengan mendapatkan kelulusan daripada ABCi, dan pada masa ini hanya tinggal menunggu proses menandatangani kelulusan tersebut. DARe meneruskan usaha untuk meningkatkan ekosistem perniagaan di negara ini, dan sentiasa menggalakkan orang awam atau perniagaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melaporkan isu-isu yang berkaitan dengan perniagaan, pertanyaan, atau cadangan kepada meja bantu perniagaan DARe di BSC, Tingkat 1 Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi atau melalui portal dalam talian www.business.gov.bn.

BSC merupakan pusat tindakan dan menyediakan lokasi sehenti untuk semua proses yang berkaitan dengan perniagaan utama bagi mengakses dan mengemukakan permohonan perniagaan (permit, lesen, pendaftaran), informasi, nasihat perniagaan, permohonan untuk program PKS dan sebagainya.

Pada masa ini, sebanyak 15 buah agensi ditempatkan di BSC, termasuk meja bantu perniagaan DARe, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Pendaftaran Syarikat dan Nama Perniagaan, Jabatan Buruh, Jabatan Bandaran, Jabatan Daerah, One Biz, Jabatan Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Lembaga Kawalan Bangunan, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Air, Sijil Asal di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar Negara dan Perdagangan, Pejabat Harta Intelek Brunei dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam.

DARe merupakan sebuah badan berkanun yang melihat kepada memupuk dan menyokong perusahaan tempatan dengan tujuan untuk menggalakkan pertumbuhan bagi membolehkan mereka menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

DARe juga membangunkan perusahaan tempatan dengan membantu dalam kapasiti bangunan, memudahkan akses kepada pembiayaan, akses kepada pasaran serta menyediakan ruang industri PKS untuk berkembang.

ARTIKEL YANG SAMA