DARe cari calon Anugerah Terbaik APEC

DARe cari calon Anugerah Terbaik APEC

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan wanita dalam bidang ekonomi, Darussalam Enterprise (DARe) sedang mencari calon-calon untuk Anugerah Terbaik APEC sempena Forum Awam-Swasta APEC yang akan diadakan di Peru, Jun nanti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe, di sini, hari ini, anugerah itu nanti akan disampaikan sebagai sebahagian daripada Forum Awam-Swasta APEC bertajuk, ‘Wanita dalam Ekonomi’ yang akan dilaksanakan oleh Persekutuan Rusia dan ditaja bersama oleh Amerika Syarikat, Peru dan Chinese-Taipei pada 29 Jun nanti.

Kenyataan itu menjelaskan lagi bahawa calon-calon untuk anugerah itu harus memenuhi tiga kriteria kelayakan iaitu harus mengendalikan sebuah perusahaan kecil atau sederhana, seorang usahawan persendirian atau syarikat sendirian berhad dan harus memiliki lebih 50 peratus saham perniagaan.

Kriteria kedua ialah mereka harus menyampaikan model perniagaan yang berpotensi untuk diulangi dan kriteria ketiga ialah mereka telah beroperasi di pasaran tempatan dari dua hingga lima tahun dan telah berjaya mengatasi titik pulang modal.

Format penyertaan sebagai seorang calon termasuk pembentangan selama 10 minit berbentuk penyampaian pelaburan dan diikuti sesi soal dan jawab selama tiga minit di hadapan panel juri semasa forum berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, calon yang berjaya akan diberikan seorang mentor yang diambil dari peringkat ekonomi daripada komuniti penasihat secara sukarela untuk membantu calon menyediakan pembentangan mereka.

Sehubungan itu, para usahawan wanita yang berminat dialu-alukan untuk menghantar pencalonan kepada DARe dengan menyediakan cadangan perniagaan yang meliputi pelbagai maklumat.

Maklumat berkenaan termasuk latar belakang dan model perniagaan, maklumat produk dan tawaran perkhidmatan, maklumat pasaran termasuk tarikan antarabangsa, manfaat kepada masyarakat, manfaat dan komitmen kepada pekerja, pelan masa depan termasuk potensi pertumbuhan serta maklumat kewangan semasa dan ramalan bagi tiga hingga lima tahun.

Cadangan perniagaan harus dihantar ke DARe (APEC Best Award) di Tingkat 2, Bangunan Rekaan dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, Jalan Berakas atau e-mel kepada lela.suhailee@dare.gov.bn selewat-lewatnya pada 11 Mei, jam 12 tengah hari.

Pemilihan pemenang adalah berdasarkan kepada tujuh kategori iaitu Anugerah Terbaik APEC, Potensi Pertumbuhan Tertinggi, Model Perniagaan Paling Inovatif, Daya Tarikan Antarabangsa, Impak Terbaik kepada Masyarakat, Majikan Terbaik dan Anugerah Istimewa (pilihan penonton).

Menurut kenyataan itu lagi, penyertaan dalam anugerah ini memberikan peluang kepada calon-calon untuk mengantarabangsakan perniagaan dan menarik rakan kongsi antarabangsa atau para pelabur berpotensi dari negara ekonomi APEC.

ARTIKEL YANG SAMA