DARE pelawa kerjasama dalam IBA

DARE pelawa kerjasama dalam IBA

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Darussalam Enterprise (DARE) pada masa ini sedang giat mencari lebih ramai lagi pembimbing perniagaan (business mentors), pemudah cara (facilitators), rakan usaha sama, tenaga pengajar dan rakan kongsi yang berminat untuk bekerjasama dengan pihak DARE dalam pelaksanaan Program Akademi Industri Perniagaan (IBA) bagi sesi tahun 2017.

IBA adalah sebuah program pembelajaran dan perkembangan keupayaan bagi pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memulakan, menjalankan dan mengembangkan perniagaan.

Program IBA ini telah dijalankan sejak bulan Mei 2016 dengan tujuan untuk meningkatkan jumlah perniagaan yang mapan di negara ini. Pelaksanaan IBA ini adalah berdasarkan isu-isu terkini yang berkaitan dengan persekitaran keusahawanan tempatan, kata DARE dalam satu kenyataan di sini.

Setakat ini, IBA telah mengendalikan sebanyak 13 modul yang antaranya penyediaan pelan perniagaan, mendapatkan pembiayaan, pengurusan sumber tenaga manusia serta kepentingan penyimpanan laporan perniagaan, dan pemasaran.

Sehubungan itu, pihak-pihak yang berminat adalah dialu-alukan untuk menghadapkan kertas cadangan masing-masing berkenaan modul-modul yang hendak dijalankan di bawah program IBA.

Bagi sebarang maklumat lanjut, pihak-pihak yang berminat bolehlah menghubungi pihak DARE di talian 8363442 atau menerusi alamat e-mel dare@ei.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA