DARE pelawa kerjasama Program Startup Bootcamp

DARE pelawa kerjasama Program Startup Bootcamp

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Darussalam Enterprise (DARE) menjemput syarikat-syarikat yang berminat untuk bekerjasama dengan pihaknya secara sukarela dalam Program Startup Bootcamp pusingan pertama.

DARE dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, mengatakan Program Startup Bootcamp merupakan program latihan bagi para usahawan yang akan dijalankan dalam tempoh 15 minggu.

Dalam program tersebut para usahawan yang terlibat akan diberikan latihan dan bimbingan dalam pelbagai segi termasuk penciptaan dan pelaksanaan idea (idea creation and implementation), kemajuan produk, penyediaan pelan perniagaan, pengenalan perniagaan (business pitching), cara-cara mendapatkan pembiayaan dan teknik pemasaran serta penjualan produk.

Bagi syarikat-syarikat yang berminat, bolehlah menghadiri sesi taklimat yang akan diadakan pada 20 September 2016 ini pada jam 10:30 pagi di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa.