DARe perkenal...

DARe perkenal inisiatif Buatan Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memupuk dan menyokong perusahaan produk tempatan, Darussalam Enterprise (DARe) telah memperkenalkan Inisiatif Buatan Brunei (Made in Brunei) bagi mempromosikan produk keluaran tempatan melalui pelbagai saluran dalam dan luar talian.

Inisiatif tersebut bertujuan bagi mengurangkan halangan kemasukan bagi perusahaan mikro dan kecil tempatan untuk menjual dan mencapai sasaran pelanggan dalam pasaran yang lebih luas.

Ia juga diperkenalkan untuk meningkatkan pendapatan jualan produk buatan tempatan bagi pertumbuhan eksport perusahaan kecil dan sederhana.

Melalui inisiatif tersebut, semua produk tempatan akan dipromosikan melalui risalah dalam penerbangan, terutama sekali kepada produk tempatan di pasar raya-pasar raya dan akan dipamerkan di tempat-tempat strategik seperti hotel, lapangan terbang dan pusat membeli-belah.

DARe mengalu-alukan penyertaan daripada para pengusaha untuk mempromosikan barangan mereka yang terdiri daripada makanan kering, kecantikan, kraf tangan serta barangan buatan tangan untuk mengambil bahagian dalam inisiatif ini.

Bagi mereka yang berminat, bolehlah menghantar penerangan ringkas mengenai perniagaan atau syarikat yang merangkumi jenis produk, harga dan gambar produk kepada madeinbrunei@dare.gov.bn pada 24 Mac sebelum 5 petang.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi DARe melalui e-mel atau telefon di talian 2384836 (sambungan 244).

ARTIKEL YANG SAMA