DARE perkenal program latihan 100 hari

DARE perkenal program latihan 100 hari

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Sebagai usaha membantu pengusaha-pengusaha baru, Darussalam Enterprise (DARE) akan memperkenalkan program latihan 100 hari dinamakan Startup Bootcamp Programme.

DARE dalam kenyataannya di sini, hari ini, menjelaskan bahawa objektif program ini adalah untuk menyediakan platform kepada pengusaha-pengusaha baru mempercepatkan dan membangunkan pertumbuhan produk-produk atau perkhidmatan mereka serta untuk menyediakan platform rangkaian bagi para pengusaha baru dan pelabur-pelabur.

Para peserta program akan diberikan pengetahuan dalam bidang-bidang seperti keusahawanan dan inovasi, pembentukan idea, menjana jualan, mengumpulkan dana, penjenamaan, pemasaran dan pembentangan.

Untuk mengendalikan program ini, DARE akan bekerjasama dengan pemudah cara dan pakar-pakar industri yang akan dapat berkongsi pengalaman praktikal dalam menjalankan perniagaan sebenar.

DARE dalam kenyataannya juga menyatakan bahawa program ini menggalakkan permulaan perniagaan-perniagaan baru dalam pelbagai bidang, yang akan membantu mengurangkan kadar pengangguran di Brunei.

Bagi program tersebut, DARE mencari pasukan-pasukan yang bermotivasi dan bersemangat yang merangkumi minimum dua orang ahli setiap pasukan, dengan idea-idea, produk atau perkhidmatan berorientasikan inovatif dan eksport untuk menyertainya. Para peserta dikehendaki untuk mendaftar dengan pemudah cara setiap minggu dan dijangka untuk bersedia membangunkan dan melaksanakan produk-produk mereka dalam tempoh 100 hari.

Program berkenaan akan berjalan secara intensif pada waktu malam bermula Oktober 2016 hingga Januari 2017, dan program akan berakhir dengan Hari Demo, menonjolkan semua produk yang telah dibangunkan sepanjang program tersebut.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati menerusi laman sesawang http://dare.gov.bn/SitePages/SBP.aspx​ atau www.dare.gov.bn. Tarikh akhir pendaftaran adalah sebelum 12 tengah hari pada 26 September 2016.

ARTIKEL YANG SAMA