DARE pupuk pertumbuhan usahawan tempatan

DARE pupuk pertumbuhan usahawan tempatan

Oleh Danial Norjidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Kerajaan menubuhkan badan berkanun yang dikenali sebagai Darussalam Enterprises (DARE) untuk mengawas dan memupuk pertumbuhan serta pembangunan perusahaan-perusahaan tempatan, sementara itu, kerja-kerja juga sedang dilaksanakan untuk mengembangkan Rangka Kerja Kecekapan Industri Tenaga ke seluruh sektor industri di negara ini.

Perkara ini diumumkan dalam ucapan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar yang dibacakan oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi selaku wakil peribadi Yang Berhormat Pehin semasa Acara Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Syarikat-syarikat Usaha Sama Brunei Shell (BSJV) di Seria, hari ini.

“Kerajaan menubuhkan badan berkanun dikenali sebagai Darussalam Enterprises (DARE), yang akan mengawasi dan memupuk pertumbuhan dan pembangunan perusahaan-perusahaan tempatan di Brunei termasuk PKS,” ujarnya.

Menurut Yang Berhormat Pehin, sektor swasta akan memegang 85 peratus keahlian Lembaga Pengarah DARE, yang akan memastikan bahawa hala tuju dan pembangunan PKS menerusi DARE akan dijana oleh sektor swasta.

Dato Paduka Haji Jamain ketika menyampaikan ucapan Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin.
Dato Paduka Haji Jamain ketika menyampaikan ucapan Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin.

DARE akan bertanggungjawab ke atas pengurusan tapak-tapak perindustrian di bawah Divisyen Tapak-tapak Pengurusan Perindustrian (ISM), yang sebelumnya di bawah Badan Kemajuan Industri Brunei (BINA), untuk memudahkan peluang-peluang bagi PKS.

Sebuah Pusat Sokongan Perniagaan juga akan dilancarkan pada April depan, yang akan menempatkan agensi-agensi penting yang diperlukan bagi sokongan perniagaan di bawah satu bumbung.

“Ini akan menggalakkan lebih banyak PKS untuk menceburi dunia perniagaan,” tambah beliau.

Di samping itu, DARE akan menyelaraskan dan menggabungkan pelbagai inisiatif yang sedang dijalankan pada masa ini dalam sektor awam dan swasta, termasuk program-program di bawah Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP), seperti Akademi Perniagaan Tenaga yang efektif dan program LiveWire yang berpanjangan.

“Program-program ini akan membantu demi manfaat keseluruhan sektor industri, termasuk sektor minyak dan gas.

“Dengan DARE, kami harap untuk membantu PKS Brunei menjadi kompetitif dalam negara dan akhirnya juga ke peringkat serantau. Saya harap dengan melakukan semua ini, Insya Allah, hari-hari apabila terdapat PKS satu kontrak akan berakhir,” tambah beliau.

Dalam ucapan itu, beliau juga menyentuh mengenai peluang-peluang pekerjaan tempatan menerusi rangka kerja kecekapan industri.

“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan, anda mungkin telah mengetahui mengenai Rangka Kerja Kecekapan Industri Tenaga (EICF). Ini adalah di mana kerajaan telah memulakan inisiatif untuk melatih penduduk tempatan untuk memenuhi keperluan industri minyak dan gas di Brunei.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami akan mengembangkannya ke seluruh sektor di Brunei. Inisiatif ini akan dinamakan sebagai Rangka Kerja Kecekapan Industri atau ICF, yang akan menjadi sebahagian daripada agenda tenaga kerja kebangsaan.

“Kami akan menubuhkan rangka kerja yang perlu untuk memanfaatkan potensi rakyat tempatan untuk bekerja dalam industri, sekali gus memastikan bahawa PKS tempatan akan mempunyai kakitangan tempatan yang berkeupayaan, yang sedia untuk industri,” jelas beliau.

ARTIKEL YANG SAMA