DARe seru semua pihak sokong usaha PKS

DARe seru semua pihak sokong usaha PKS

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Sejak penubuhan Darussalam Enterprise (DARe), ia terus berusaha untuk memainkan peranannya dalam membantu menjana ekosistem perniagaan yang kondusif bagi membantu usahawan-usahawan tempatan menyelesaikan masalah yang dihadapi serta membantu perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk mencapai potensi masing-masing dalam menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

Pengurus DARe, Dayangku Hajah Siti Normardinah binti Pengiran Haji Omarali berkata, sebagai sebuah badan berkanun yang diberi mandat untuk menyokong dan membimbing perusahaan tempatan membangun bagi menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), DARe bukan sahaja berharap PKS tempatan akan berkembang dalam negara sahaja tetapi juga menyokong usaha bagi mereka mencapai matlamat utama untuk keluar meneroka pasaran serantau dan juga antarabangsa.

Bagi mencapai matlamat itu, DARe terus bekerjasama dengan rapat bersama agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam dan luar negara untuk menjana iklim perniagaan yang kondusif bagi perkembangan PKS dan usahawan tempatan, katanya semasa menyampaikan taklimat mengenai DARe dan bagaimana badan berkanun itu dapat membantu PKS tempatan di Negara Brunei Darussalam.

Taklimat tersebut adalah sebahagian daripada Sesi Dialog DARe bersama Dewan Perniagaan Melayu dan Industri yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Rekaan dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, kelmarin.

Namun begitu, jelas Dayangku Hajah Siti Normardinah, DARe adalah hanya satu bahagian dalam sistem yang lebih besar di mana semua pihak termasuk kementerian-kementerian, PKS dan usahawan-usahawan memainkan peranan untuk membangunkan ekosistem bagi perniagaan yang mesra dan menarik serta dapat menyokong pembangunan ekosistem ekonomi secara menyeluruh.

Dayangku Hajah Siti Normardinah ketika menjelaskan perkhidmatan DARe.
Dayangku Hajah Siti Normardinah ketika menjelaskan perkhidmatan DARe.

“Apa yang perlu bagi menjana ekosistem yang benar-benar sesuai untuk perniagaan, kita memerlukan kerjasama daripada kerajaan iaitu kementerian-kementerian yang berkenaan, daripada PKS sendiri sama ada PKS tempatan atau pelaburan langsung asing.”

Beliau berkata, jika semua pihak bekerjasama tidak mustahil untuk mencapai yang dihasratkan dengan lebih baik, cepat dan mudah selaras dengan moto di mana jika kita berdiri teguh bersama, kita akan menjadi lebih kukuh bersama.

Matlamat utama DARe adalah untuk membangunkan PKS negara yang bertaraf serantau di mana ia dapat menerokai pasaran di luar dari hanya pasaran tempatan.

“Sering kali, rungutan yang diterima ialah pasaran tempatan merupakan pasaran kecil tetapi jika PKS kita berjaya meneroka pasaran luar seperti ASEAN, ia merupakan satu pasaran yang amat besar iaitu mempunyai kira-kira 600 juta orang pengguna,” tambahnya.

Dayangku Hajah Siti Normardinah turut memberikan penerangan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh DARe termasuk mempromosikan pertumbuhan perusahaan Brunei di mana beliau berkata, matlamat itu dilaksanakan dengan menyediakan suasana perniagaan yang dapat memupuk dan membangunkan perusahaan tempatan serta untuk menumpukan kepada perkembangan sektor-sektor khusus yang dikenal pasti sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi yang diselaraskan dengan Wawasan Brunei 2035.

Selain daripada itu, DARe juga membantu perusahaan tempatan untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan di mana ia memudah cara bagi perusahaan tempatan mendapatkan bantuan serta akses pembiayaan dan pelaburan yang diperlukan oleh mereka untuk membangunkan lagi perusahaan masing-masing.

Di samping itu, ia juga dapat membantu dalam memudah cara akses pasaran bukan sahaja bagi pasaran serantau tetapi juga pasaran antarabangsa bagi PKS tempatan di mana kerjasama yang rapat dilaksanakan dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

DARe juga menyediakan perkhidmatan pembangunan kapasiti untuk PKS tempatan dan perkhidmatan khidmat nasihat perniagaan serta menyediakan tapak dan kemudahan perindustrian yang berkualiti tinggi.

Bagi menyediakan sebuah pusat yang komprehensif bagi permohonan dan perkhidmatan berkaitan dengan perniagaan, DARe juga menyediakan Pusat Sokong Perniagaan yang mempunyai kemudahan-kemudahan yang dapat membantu PKS tempatan termasuk khidmat nasihat perniagaan dan untuk mengetahui dengan lebih lanjut program-program yang ditawarkan oleh DARe.

Pusat itu pada masa ini, mempunyai sebanyak 16 buah agensi dan sejak dilancarkan pada Januari lalu, pusat itu sudah menerima sebanyak kira-kira 429 isu-isu berhubungan dengan perniagaan di mana sebanyak 82 peratus daripada isu-isu yang dikemukakan oleh para usahawan telah berjaya diselesaikan dengan kerjasama rapat agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

DARe berkata bahawa sesi-sesi berkenaan memberikan pelantar bagi perusahaan-perusahaan untuk mengongsi dan menyampaikan idea mereka serta mengetengahkan sebarang isu-isu dalam alam sekitar perniagaan.

Pada masa yang sama, perusahaan-perusahaan digalakkan untuk bekerjasama dengan DARe dalam sesi-sesi berkenaan untuk menyelesaikan sebarang isu-isu relevan.