DARe umum pelantikan 3 ahli Lembaga yang baru

DARe umum pelantikan 3 ahli Lembaga yang baru

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan perkenan bagi pelantikan tiga ahli baru dalam Lembaga Darussalam Enterprise (DARe).

Mereka ialah Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar) yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi manakala dua lagi ahli Lembaga DARe yang baru iaitu Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei merangkap Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perusahaan Kebangsaan Brunei, Dr Haji Kamaruddin bin Dato Seri Paduka Haji Talib dan Pengarah Urusan Sahid Sdn Bhd dan Pengarah Simpor Pharma Sdn Bhd, Pengiran Adanan bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail.

DARe dalam satu kenyataan hari ini berkata, dengan pelantikan tersebut 84 peratus (16 daripada 19 ahli) Lembaga DARe diterajui oleh sektor swasta dengan ahli-ahlinya mewakili pelbagai industri termasuk perbankan, pembinaan, perkapalan dan logistik, makanan, minyak dan gas, teknologi maklumat (IT) serta pelbagai persatuan dan badan profesional.

pg02_160421_a

Kumpulan wakil-wakil sektor swasta ini dijangka membawa bersama segala kepakaran teras dan pengetahuan teknikal dalam mencorakkan pembangunan sektor perniagaan negara dalam memastikan bahawa keperluan-keperluan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh ditangani secara optimum serta menanganinya dari sudut perniagaan.

DARe merupakan sebuah badan berkanun yang memantau dan menyokong perusahaan tempatan dengan matlamat untuk mengukuhkan pertumbuhan mereka agar berupaya menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Ia dipengerusikan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

ARTIKEL YANG SAMA