Daren mara separuh akhir Masters Taiwan

Daren mara separuh akhir Masters Taiwan

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Pemain profesional negara, Liew Daren meneruskan cabarannya apabila mara ke separuh akhir kejohanan badminton Grand Prix Masters Taiwan di Gimnasium Hsing Chuang di Taipei, hari ini.

Bekas pemain negara berusia 29 tahun itu mengetepikan cabaran Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia dengan 11-8, 11-3, 11-2 di suku akhir pada kejohanan yang menggunakan sistem 11 mata.

Menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org, Daren kini akan menentang wakil tuan rumah, Lin Yu Hsien yang menundukkan rakan senegaranya, Hsueh Hsuan Yi 11-6, 6-11, 11-6, 11-6 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Seorang lagi bekas pemain negara, Tan Chun Seang, bagaimanapun, terkandas selepas tewas 11-6, 4-11, 15-13, 5-11, 9-11 kepada pilihan utama, Hsu Jen Hao dari Taiwan.

Dua beregu wanita negara turut menempah tiket ke separuh akhir selepas menyingkirkan lawan masing-masing di suku akhir.

Gandingan Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen membuat kejutan apabila menyingkirkan pilihan kedua, Poon Lok Yan-Tse Ying Suet dari Hong Kong 11-5, 11-9, 11-4, manakala Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean menang 15-14, 13-11, 9-11, 9-11, 11-9 ke atas pasangan Jepun, Ayako Sakuramoto-Yukiko Takahata.

Cabaran pemain perseorangan wanita negara berakhir selepas wakil tunggal di suku akhir, Tee Jing Yi yang juga pilihan kedua tewas 6-11, 7-11, 6-11 kepada pilihan kelima dari Thailand, Pornpawee Chochuwong. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA