Dari Sydney ke NY, mercu tanda bergelap

Dari Sydney ke NY, mercu tanda bergelap

SYDNEY, 20 Mac (Reuters) – Dari Opera House, Sydney ke Empire State Building new York dan Eiffel Tower, Paris, bangunan mercu tanda di seluruh dunia bergelap malam semalam bagi edisi ke-10 kempen Earth Hour dalam usaha mengurangkan bencana perubahan iklim.

Berjuta-juta orang daripada 178 negara dan wilayah mengambil bahagian dalam Earth Hour anjuran WWF tahun ini, menurut penganjur, dengan monumen dan bangunan mercu tanda seperti Brandenburg Gate, Berlin bergelap selama 60 minit daripada jam 8:30 malam waktu tempatan.

Acara tahunan itu bermula di Sydney di mana idea Earth Hour berasal dalam tahun 2007. “Kami melihat Sydney Harbour Bridge menutup lampunya…dan bangunan sekelilingnya juga,” Pengurus Earth Hour Australia, Sam Webb memberitahu AFP dari kawasan The Rocks semalam.

Pengarah Eksekutif Global Earth Hour Siddarth Das mengatakan penganjur teruja mengenai peningkatan jumlah gerakan itu semenjak ia bermula sembilan tahun lalu.

“Dari sebuah bandar, ia kini bertambah kepada lebih 178 negara dan wilayah serta lebih 7,000 bandar, jadi kami rasa amat gembira apabila berjuta-juta orang di seluruh dunia bersatu untuk tindakan iklim ini,” dia memberitahu AFP dari Singapura sebelum negara kota itu bergelap.

Syndey Opera House yang pertama bergelap untuk Earth Hour diikuti mercu tanda lain di seluruh dunia. – AFP
Syndey Opera House yang pertama bergelap untuk Earth Hour diikuti mercu tanda lain di seluruh dunia. – AFP

Lebih 150 bangunan di Singapura bergelap, manakala bangunan pencakar langit Taipei, 101 secara beransur-ansur menutup lampunya selama sejam, begitu juga empat tembok dan jambatan bersejarah negara itu.

Cahaya juga malap di seluruh latar langit Hong Kong yang biasanya bergemerlapan, meskipun komentator online menekankan ibu pejabat garrison Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China di hadapan pelabuhan tetap bercahaya.

“Bayangkan menjadi pengurus satu-satunya bangunan dalam sebuah metropolis yang lupa mengenainya,” kata satu pos Twitter dengan gambar bangunan PLA itu yang bercahaya berlatarkan langit gelap.

Selepas Asia, Earth Hour beralih ke Eropah di mana St Peter Basilica, Trevi Fountain, Rom dan kuil Parthenon di Athens adalah antara beberapa tapak ikonik yang bergelap.

Selepas itu mercu tanda lain di seluruh Eropah seperti Dewan Parlimen, the eye of London, Tower Bridge, Istana Buckingham, Harrods, Eiffel Tower, Paris, Kremilin di Moscow, Empire State Building, New York, istana presiden La Moneda, Chile, Monument to the Revolution di Mexico dan banyak lagi juga bergelap selama sejam.

ARTIKEL YANG SAMA