Darussalam Holdings rai jemaah haji

Darussalam Holdings rai jemaah haji

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Kepulangan Jemaah Haji Pakej Darussalam Holdings Sdn Bhd dan Sambutan Awal Tahun Hijrah 1437 yang berlangsung di Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD), pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengerusi dan Lembaga Pengarah Darussalam Holdings, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Awang Ismail. Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah serta jemaah haji yang telah dijemput.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran, yang diteruskan dengan sebuah Ceramah Tazkirah Hijrah yang bertajuk ‘Berhijrah Selepas Haji’ yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Jufri bin Haji Hidup. Haji Jufri dalam ceramahnya menyentuh mengenai cara-cara untuk membangun dan meningkatkan keimanan serta ketakwaan para jemaah selepas haji.

Dato Seri Setia Haji Yusoff bersama para ahli Lembaga Pengarah dan jemaah haji ketika menghadiri Majlis Doa Kesyukuran Kepulangan Jemaah Haji.
Dato Seri Setia Haji Yusoff bersama para ahli Lembaga Pengarah dan jemaah haji ketika menghadiri Majlis Doa Kesyukuran Kepulangan Jemaah Haji.

Beliau juga menyeru agar para jemaah haji mempraktikkan fadilat-fadilat haji yang telah dipelajari semasa mengerjakan haji dalam kehidupan seharian mereka.

Menurut Pengarah Urusan Darussalam Holdings, dalam kenyataan yang diberikan, majlis itu merupakan salah satu penghargaan kepada jemaah haji yang menggunakan khidmat Pakej Haji Darussalam Holdings.