Dasar ekonomi M’sia mampan

Dasar ekonomi M’sia mampan

ALOR SETAR, 4 Sept – Malaysia mampu menyerap tekanan ekonomi global kerana memiliki dasar ekonomi mampan dan dibuktikan dengan kadar pertumbuhan sekitar 4 hingga 4.5 peratus tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata, walaupun wujud impak kejatuhan nilai mata wang dan harga minyak, namun pertumbuhan ekonomi negara masih stabil, didorong daya tahan ekonomi domestik melibatkan pelaburan swasta dan tempatan.

“Menerusi dasar fiskal kerajaan yang menumpukan pertumbuhan jangka panjang dan mampan, maka ekonomi kita masih berada pada tahap membanggakan berbanding ekonomi negara serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan kawasan baharu Lembaga Kemajuan Wilayah Muda (MADA), di sini, hari ini.

Othman mengulas dakwaan di media sosial bahawa ekonomi negara tenat akibat kejatuhan nilai mata wang, harga komoditi serta masalah rasuah.

Datuk Othman Aziz (tengah) menyaksikan penyerahan manual operasi pengairan bagi kawasan sawah padi baharu oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kedah, Mohd Abu Bakar Othman (kanan) kepada Pengurus Besar MADA, Fouzi Ali (kiri) di Ibu Pejabat MADA kelmarin. – Bernama
Datuk Othman Aziz (tengah) menyaksikan penyerahan manual operasi pengairan bagi kawasan sawah padi baharu oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kedah, Mohd Abu Bakar Othman (kanan) kepada Pengurus Besar MADA, Fouzi Ali (kiri) di Ibu Pejabat MADA kelmarin. – Bernama

Jelasnya, faktor petunjuk prestasi ekonomi banyak bergantung kepada faktor domestik, luaran, boleh dikawal atau sebaliknya dan perkembangan di luar negara boleh memberi kesan secara langsung kepada Malaysia.

“Contohnya di Britain yang mana Brexit (keputusan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah) juga memberi kesan kepada negara kita,” katanya.

Selain itu, Othman yang juga Pengerusi Pengerusi MADA meminta kerajaan pusat segera meluluskan peruntukan RM20 juta bagi menaiktaraf sistem perparitan dan infrastruktur asas di kawasan MADA.

Permohonan yang diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kewangan itu bagi membolehkan pelaksanaan pembersihan kawasan perparitan dan naik taraf jalan-jalan ladang termasuk di 4,127 hektar kawasan pinggiran MADA yang baharu diambilalih. – Bernama