Dasar penggunaan TVRO dihentikan mulai 1 Sept 2018

Oleh Imelda Groves HA

 

MMN Logo 2017BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Dasar penggunaan parabola (TVRO) bagi orang ramai akan diberhentikan sepenuhnya bermula pada 1 September 2018. Walau bagaimanapun kebenaran untuk menggunakannya hanya akan diberikan kepada institusi-institusi perhotelan, perwakilan-perwakilan luar negara, institusi-institusi perubatan dan pengajian tinggi dan sebagainya.

Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat berkata demikian ketika menjawab usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis mengenai dua isu berhubung parabola (TVRO) dan Perkhidmatan Pos EMS (Express Mail Service) semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara bagi hari ke-11, di sini, hari ini. Beliau seterusnya menerangkan mengenai pembayaran lesen tahunan yang dikenakan kepada pengguna-pengguna TVRO seperti yang dimaklumkan dalam siaran akhbar pada 3 Ogos 2013.

“Pengguna-pengguna TVRO dikehendaki untuk membayar lesen parabola tahunan dengan harga $240 setahun dan harga ini sebenarnya telah diturunkan daripada harga asal sebanyak $390 kepada $240 setahun sejak 1 September 2014,” jelas Yang Berhormat Dato.

Pengimportan atau kemasukan peralatan tersebut ke negara ini, jelasnya, adalah ditegah bagi orang ramai dan kemasukan TVRO ke negara ini hanya dibenarkan kepada beberapa buah syarikat sahaja.

“Walau bagaimanapun semua kebenaran ini telah mansuh.

Kutipan bayaran tahunan sebanyak $240 bagi setiap parabola masih diteruskan bagi sebanyak 108 pengguna sahaja.

Semua pendapatan ini adalah dikira sebagai pendapatan kerajaan,” ujarnya.

Berhubung dengan EMS ataupun Speed Post pula, beliau menjelaskan bahawa perkhidmatan tersebut dikendalikan sebagai perkhidmatan premium, di mana Jabatan Perkhidmatan Pos telah dapat mempertingkatkan perkhidmatan EMS ini dengan menandatangani perjanjian multi-lateral dengan 182 negara iaitu negara-negara ahli EMS cooperative, yang terdiri daripada ahli-ahli kesatuan pos sedunia, atau universal post union.

Katanya, objektif utamanya ialah untuk mewujudkan terma dan syarat bagi mengawal perkhidmatan perbekalan barangan EMS antara pentadbir perkhidmatan pos yang ikut serta.

“Antara kelebihannya ialah kawalan perlindungan operasi lebih sempurna seperti pertukaran elektronik atau electronic interchange bagi berkongsi maklumat mengenai perjalanan mel iaitu melalui national tracking system, akauntabiliti bagi kerugian dan kerosakan, kemudahan barangan tegahan, perlindungan barangan EMS.

“Penetapan kadar bayaran bagi EMS, imbalance, tuntutan pembayaran dan kualiti perkhidmatan imej adalah mengikut piawaian termasuk pengendalian perkhidmatan pelanggan,” ujarnya lagi.

Menurutnya, kutipan hasil yang diterima oleh Jabatan Perkhidmatan Pos daripada caj perkhidmatan penghantaran yang diberikan oleh negara-negara terlibat menunjukkan kadar turun naik, di mana pada tahun 2014, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 27 peratus iaitu sebanyak $529,711, berbanding pada tahun 2013 sebanyak $415,611 sahaja.

Manakala pada tahun 2015, kutipan tersebut menurun sebanyak tujuh peratus iaitu sebanyak $490,957 sahaja. Sementara kutipan hasil daripada bayaran pos ataupun postage stamp bagi penghantaran EMS keluar negeri adalah dalam lingkungan sembilan peratus daripada hasil keseluruhan kutipan stem – iaitu lebih kurang dalam $250,000 ke $290,000 setahun.

Ini bermakna jumlah keseluruhan hasil pendapatan bagi perkhidmatan penghantaran EMS adalah sebanyak $750,000 ke 790,000 setahun.

Oleh itu EMS merupakan sumber hasil utama kepada Jabatan Perkhidmatan Pos dan dengan menandatangani perjanjian EMS mutli-lateral ini akan dapat meluaskan lagi sumber pendapatan bagi perkhidmatan pos.

“Mengenai senarai negara-negara dan maklumat lanjut perkhidmatan EMS Speed post ini, orang ramai bolehlah melayari laman web pejabat pos www.post.gov.bn,” tambahnya.