Dasar penghapusan pukat tunda di Zon B untuk kurang eksploitasi

Dasar penghapusan pukat tunda di Zon B untuk kurang eksploitasi

KUCHING, 13 Jun (Bernama) – Dasar Penghapusan Pukat Tunda di Zon B secara berperingkat bermula awal tahun ini dalam usaha menghalang kehadiran kapal pukat tunda di zon itu menjelang tahun 2020, bertujuan mengurangkan kadar eksploitasi pengguna pukat itu di kawasan pembiakan ikan.

Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar dan Perikanan (Pesisir) Sarawak Datuk Julaihi Narawai berkata ia juga bertujuan meredakan konflik antara nelayan pukat tunda dengan nelayan yang menggunakan peralatan tradisi di kawasan menghampiri pantai.

Beliau berkata dasar itu juga disasar untuk mengelak pendaratan ikan-ikan baja, terutama anak-anak ikan, oleh nelayan komersial yang menggunakan pukat tunda.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Razaili Gapor (BN-Beting Maro) mengenai perkembangan semasa cadangan kerajaan untuk menyemak zon-zon penangkapan ikan buat nelayan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Zon A merujuk kepada kawasan kurang daripada 5 batu nautika dari kawasan pantai di kawasan kebanyakan nelayan tradisi beroperasi, manakala Zon B antara 5 dan 12 batu nautika, dan Zon C merangkumi kawasan lebih daripada 12 batu nautika dari pantai.

Julaihi berkata nelayan pukat tunda kini mempunyai pilihan sama ada untuk menukar peralatan bot-bot mereka untuk kekal beroperasi di Zon B, atau menukar kawasan operasi daripada Zon B kepada Zon C.

“Tempoh pembatalan semua kapal pukat tunda di Zon B adalah selama lima tahun, iaitu sehingga 2020. Selepas tarikh itu, semua aktiviti pukat tunda di Zon B adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi negeri Dr Annuar Rapa’ee berkata antara kriteria penting untuk membuka pusat bioteknologi adalah pembiayaan yang signifikan.

Sumber kewangan kukuh diperlukan untuk memastikan penyelidik mempunyai dana mencukupi untuk menyokong program mereka, katanya semasa menjawab soalan Dennis Ngau (BN-Telang Usan) mengenai kriteria untuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Teknologi dan sama ada wujud kemungkinan untuk menubuhkan pusat itu di Bahagian Baram.

Annuar berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Pusat Bioteknologi Sarawak (SBC) di Semenggoh untuk memanfaatkan potensi sumber biologi negeri.

“Kami mengambil perhatian bahawa peluang untuk penyelidikan di kawasan Baram adalah banyak berdasarkan sumber pelbagai biologi di sana, namun pada ketika ini tiada perancangan untuk menubuhkan pusat itu di Baram,” katanya.