Dasar potong kuota berkesan

Dasar potong kuota berkesan

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Bahiyah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Dasar pengambilan pekerja luar negara yang dilaksanakan sejak tahun lepas, membabitkan pemotongan kuota yang tidak digunakan, telah memberi kesan positif dalam mengurangkan kadar pengangguran tempatan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata, ini dapat dilihat daripada segi bilangan pengangguran (pencari kerja) yang berkurang sebanyak 1,227 orang iaitu daripada 15,081 pada Mac 2015 kepada 13,854 orang pada Mei 2015.

Menurut beliau, walaupun ia sekadar satu kemungkinan, namun dasar pemotongan kuota yang tidak digunakan (unused quota) dan pelaksanaannya secara berhemah itu telah meningkatkan sambutan dan kerjasama majikan-majikan untuk mengambil tenaga kerja tempatan bekerja dalam syarikat masing-masing.

“Ini terbukti dengan bilangan syarikat-syarikat yang mengiklankan peluang pekerjaan (jawatan kosong) menerusi Agensi Pekerjaan Tempatan (APTK) telah meningkat hampir lima kali ganda iaitu sebanyak 512 kekosongan dalam tempoh enam bulan pertama (Januari hingga Mei 2014) iaitu sebelum dasar baharu diperkenalkan kepada sebanyak 2,854 kekosongan dalam tempoh enam bulan kedua tahun lepas setelah dasar baharu dilaksanakan,” jelas beliau.

Yang Berhormat Pehin menyatakan demikian semasa pada Majlis Malam Penghargaan Pekerja dan Majikan Contoh 2015 yang berlangsung di Hotel The Rizqun International, di sini, malam ini.

pg01_150731_b

Beliau juga yakin dasar pengambilan pekerja asing yang dilaksanakan secara berhemah itu adalah tepat untuk mengurangkan bilangan pengangguran dengan penyertaan aktif syarikat-syarikat secara mengutamakan peluang pekerjaan bagi anak negeri.

Menurutnya lagi, pihak Kementerian dan jabatan-jabatan yang berkenaan khasnya Jabatan Buruh dan APTK akan memantau secara aktif pengambilan tenaga pekerja asing, namun pada masa yang sama akan tetap mengambil kira perkembangan sektor swasta selaras dengan matlamat utama memastikan kehadiran pekerja asing di negara ini adalah dalam bilangan dan saiz yang terkawal dan selesa dari aspek kependudukan.

“Kerana itulah, pada tahun lalu diumumkan mengenai unused quota yang telah dibenarkan kepada syarikat-syarikat bagi mendatangkan seramai lebih 71,282 orang pekerja asing, telah di potong.”

Katanya, pelaksanaan dasar dan pencapaian objektif tersebut itu dibuat secara berhemah, seiring dengan mengembangkan pertubuhan bisnis yang juga akan menambah peluang pekerjaan anak-anak tempatan.

“Maka kementerian telah membuat garis pandu pelaksanaannya termasuk penubuhan jawatankuasa khas menimbangkan rayuan syarikat-syarikat yang terjejas dengan pemotong kuota itu. Jawatankuasa berkenaan berfungsi untuk meneliti profil syarikat dan alasan rayuannya dan seterusnya membuat keputusan”, jelasnya lagi.

Beliau menambah kata, dalam tempoh setahun mulai bulan Julai 2014 hingga bulan Jun 2015, sebanyak 10,772 kuota kepunyaan 2,055 syarikat telah dipotong.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan Anugerah Pekerja Contoh Profesional dan Eksekutif kepada Awang Polycarp Ng Yun Choi
Yang Berhormat Pehin menyampaikan Anugerah Pekerja Contoh Profesional dan Eksekutif kepada Awang Polycarp Ng Yun Choi

“Setakat ini ada sebanyak 123 buah syarikat yang telah menghadapkan rayuan bagi mendapatkan semula 962 kota masing-masing yang telah dipotong. Dari jumlah tersebut hanya 234 kuota telah diluluskan,” katanya lagi.

Sebanyak enam kategori bagi Anugerah Pekerja Contoh 2015 dan enam kategori Anugerah Majikan Contoh 2015 diumumkan malam ini di Majlis Malam Penghargaan Pekerja dan Majikan Contoh 2015 yang berlangsung di The Rizqun International Hotel, di sini.

Penerima-penerima Anugerah Pekerja Contoh 2015 terdiri dari Dayang Wong Mee Kiew (First Emporium & Supermarket) bagi kategori Sektor Pasar raya dan Gedung Perniagaan; Haji Rahim bin Hasbollah (ISS Facility Services Sdn Bhd) bagi kategori Sektor Perkhidmatan Pembersihan; Awang Michael Chin Yuk Fatt (Royal Brunei Catering Sdn Bhd) bagi kategori Sektor Restoran; Hajah Rogayah binti Haji Harith (Boustead Sdn Bhd) bagi kategori automobil; Hajah Rusni binti Haji Emran (Abdul Razak Holdings) bagi kategori Sektor Perhotelan dan Awang Polycarp Ng Yun Choi (Syarikat Peter Perunding Sdn Bhd) bagi kategori Perkhidmatan Profesional dan Eksekutif.

Bagi penerima Anugerah Majikan Contoh 2015 pula tediri dari Milimewah Departmant Store Sdn Bhd (Sektor Pasar raya dan Gedung Perniagaan), Rentokil Initial (B) Sdn Bhd (Sektor Perhidmatan Pembersihan), Royal Brunei Catering Sdn Bhd (Sektor Restoran), Setia Motors Sdn Bhd (Sektor Automobil), Jerudong Park Hotel Sdn Bhd atau dikenali sebagai The Empire Hotel and Country Club (Sektor Perhotelan) dan Yusof Halim & Partners Advocates & Solicitors (Perkhidmatan Profesional dan Eksekutif).

ARTIKEL YANG SAMA