Dastar lambang warisan budaya

Dastar lambang warisan budaya

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Di Negara Brunei Darussalam, dastar sudah wujud sejak zaman dahulu lagi di mana ia dijadikan sebagai alas penutup kepala yang bukan sahaja digunakan untuk acara tertentu malah dipakai pada hari-hari biasa.

Bagaimanapun, kini ia hanya boleh dilihat pada acara-acara tertentu.

Pemakaian dastar tidak akan lengkap tanpa mengenakan sinjang atau samping ketika mengenakan pakaian cara Melayu untuk kaum lelaki.

Awang Serudin bin Haji Damit dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, ketika ditemui baru-baru ini, berkata bentuk tambatan dan kain yang digunakan untuk menambat dastar melambangkan warisan adat dan budaya yang unik di negara ini.

Menurutnya, pemakaian dastar juga dilihat kepada peringkat atau kedudukan si pemakai dan kain yang digunakan untuk penambatan dastar juga dapat membezakan kedudukan sese-orang individu.

Awang Serudin menunjukkan cara menambat dastar.
Awang Serudin menunjukkan cara menambat dastar.
Cara meletakkan dastar Anggulan, salah satu dastar berlubang di tengah.
Cara meletakkan dastar Anggulan, salah satu dastar berlubang di tengah.

Beliau seterusnya menambah, penambatan dastar menggunakan kain kapas biasanya digunakan oleh orang kebanyakan manakala orang kenamaan atau diraja akan menggunakan kain tenunan atau kain sutra.

“Di Negara Brunei, dastar ada tiga jenis, dastar yang berlubang di tengah yang biasa digunakan oleh pengantin seperti dastar teruna atau dastar tanjak manakala dastar jenis separuh berlubang seperti Anggulan Tinggi dan Anggulan Rendah,” jelasnya.

Dastar ketiga adalah bertutup seperti dastar Kedayan dan dastar Kuya di mana menurut beliau, pemakaian dastar pada zaman dahulu juga biasannya digunakan oleh kaum lelaki sama ada untuk pergi ke laut atau bertani mengikut tambatan dan jenis kain yang digunakan.

Dastar yang biasa digunakan pada masa ini oleh pengantin ialah seperti dastar jenis Tanjak atau Tanjak Teruna.

Warisan adat dan budaya merupakan roh dan identiti bangsa yang menyumbang kepada perpaduan, keharmonian, peradaban, keunikan dan keunggulan bangsa.