Data utiliti ditambah dalam maklumat kredit

Data utiliti ditambah dalam maklumat kredit

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Satu lagi skop maklumat, data utiliti yang mengandungi maklumat kredit berasaskan langganan kepada bekalan air, elektrik dan juga telekomunikasi akan ditambah dalam maklumat kredit peminjam dari institusi perbankan.

Ia merupakan tambahan maklumat kredit peminjam yang sebelum ini mengandungi sejarah kredit perbankan masing-masing.

Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam kenyataannya hari ini berkata, data utiliti berperanan sebagai data laporan alternatif dan maklumat nilai tambah bagi pemberi pinjaman untuk menggariskan risiko peminjam-peminjam.

Selain itu, maklumat yang tersedia di dalam fail kredit peminjam memainkan peranan penting bagi pemberi pinjaman dalam memberi jumlah dan terma kredit peminjam. Secara umumnya, peminjam yang mempamerkan rekod yang baik dalam fail kredit mereka, dari segi bayaran pinjaman yang tepat dan teratur kepada institusi perbankan formal, akan mempunyai peluang yang lebih tinggi bagi permohonan kredit mereka diluluskan oleh institusi kewangan berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai rekod pembayaran yang teratur.

Menurut kenyataan itu lagi, di samping itu, maklumat pinjaman yang sedikit dalam fail kredit peminjam (‘thin file’) ataupun fail kredit yang tidak mengandungi maklumat pinjaman (‘null file’) akan menyukarkan institusi kewangan untuk menilai kekukuhan kredit (Creditworthiness) dan kecenderungan peminjam untuk membayar balik pinjaman.

Dalam pada itu, individu yang tidak mempunyai maklumat pinjaman yang cukup, biasanya akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses kepada kredit kerana institusi kewangan hanya akan mengehadkan penilaian kredit berisiko mereka melalui data perbankan yang sedia ada.

Data alternatif, atau data yang tidak tradisional, menawarkan satu cara penyelesaian untuk isu-isu berkaitan dengan individu yang tidak mempunyai sejarah kredit. Fungsi data utiliti adalah untuk memberi maklumat alternatif bagi menilai kepercayaan kredit peminjam yang mempunyai ‘thin file’ mengambil kira kredibiliti peminjam kini dapat dilihat daripada tabiat peminjam terhadap pembayaran utiliti dan bil telefon masing-masing. Pengenalan data utiliti di dalam laporan kredit juga membawa pelbagai kesan positif kepada kedua-dua pemberi pinjaman dan peminjam seperti membantu mengelakkan pelanggan menjadi mangsa kecurian identiti kerana data utiliti akan meningkatkan dan memperkayakan maklumat utiliti yang sedia ada bagi peminjam, kata AMBD.

Ia juga menghalang atau mengurangkan hutang peminjam menjadi tidak terurus apabila pelanggan lebih berdisiplin dalam kewangan mereka dalam membuat pembayaran balik kredit mereka lebih tepat dan teratur. Ini boleh mengelakkan peminjam daripada terjebak di dalam perangkap hutang yang tidak terurus.

Orang ramai digalakkan untuk menyemak laporan kredit mereka dengan kerap untuk memastikan bahawa maklumat kredit mereka adalah tepat dan terkini. Ini adalah untuk meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa rekod mereka adalah jelas dan betul.

Orang ramai dan entiti-entiti perniagaan boleh mendapatkan Self-Inquiry Report (SIR) di Kaunter Perkhidmatan Pelanggan Biro Kredit, Unit 1, Tingkat Bawah, Bangunan Dar Takaful IBB Utama, Bandar Seri Begawan.

ARTIKEL YANG SAMA