‘Dataran Kota Belud’ disambut baik

‘Dataran Kota Belud’ disambut baik

KOTA BELUD, 27 Okt (Bernama) – Penduduk di daerah Kota Belud menyambut baik cadangan pembinaan Dataran Kota Belud dengan rekaan komprehensif di tengah-tengah pekan berkenaan.

Mereka berpendapat Dataran Kota Belud dengan kos pembinaannya dianggarkan RM5.05 juta yang bakal menyediakan pelbagai kemudahan termasuk sukan dan rekreasi itu akan mengubah wajah Kota Belud.

Ketika ditemui Bernama, seorang peniaga, Maudin Lidi, 46, berkata pembinaan dataran itu kelak akan menjadikan pekan Kota Belud lebih menarik, indah dan selesa.

Maudin, yang berasal dari Kampung Timbang Dayang, turut mencadangkan supaya tapak bazar Ramadan di tapak tamu dipindahkan ke kawasan pekan pada masa akan datang.

Katanya kawasan bazar itu sekarang yang agak jauh dari pekan menyebabkan ia kurang mendapat sambutan daripada pelanggan.

Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menunggang kuda berhias sempena perasmian Tamu Besar Kota Belud pada 25 Oktober lalu. Penduduk di Kota Belud menyambut baik cadangan pembinaan Dataran Kota Belud di tengah pekan berkenaan. – Bernama
Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menunggang kuda berhias sempena perasmian Tamu Besar Kota Belud pada 25 Oktober lalu. Penduduk di Kota Belud menyambut baik cadangan pembinaan Dataran Kota Belud di tengah pekan berkenaan. – Bernama

Seorang penjawat awam Razali Arin, 43, pula berkata pembinaan dataran itu menunjukkan perkembangan yang positif untuk kemajuan pekan Kota Belud.

Katanya selama ini rakyat sentiasa menanti perubahan dan dataran itu membawa kebaikan kepada rakyat di daerah itu.

“Kami sokong apa juga pembangunan yang difikirkan baik dan ia amat dialu-alukan,” katanya.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan merasmikan majlis pecah tanah pembinaan dataran itu pada 18 Oktober lepas.

Projek bertemakan ‘Perbandaran Hijau Warisan Alam’ itu bakal dilengkapi kerusi taman, pavilion, ruang pejalan kaki, air pancuran dan tempat permainan kanak-kanak.