Datuk Bandar Davao pilihan ganti Aquino

Datuk Bandar Davao pilihan ganti Aquino

MANILA, 7 Dis – Datuk Bandar penggal kesembilan yang tegas, yang telah membentuk reputasi untuk memerangi jenayah di wilayah selatan Filipina yang dibelenggu pemberontakan menjadi pilihan menggantikan Presiden Benigno Aquino dalam pilihan raya bulan Mei, tinjauan pendapat menunjukkan hari ini.

Rodrigo Duterte (gambar bawah), 70 tahun, datuk bandar Bandar Davao, adalah pesaing teratas bagi 38 peratus dari 1,200 orang yang ditinjau, menurut tinjauan Social Weather Stations.

Senator Grace Poe yang berada di atas dalam tinjauan pada Jun dan September, menurun kepada tempat kedua dengan 21 peratus, selaras dengan Timbalan Presiden Jejomar Binay yang mendahului tinjauan pendapat awal tahun ini. Poe meraih 26 peratus sokongan pada September dan Binay meraih 24 peratus.

Minggu lalu Poe ditegah daripada bertanding kerana dia gagal memenuhi keperluan pemastautin 10 tahun tetapi dia berharap keputusan itu akan ditarik balik apabila dirayu.

Pilihan raya akan diawasi secara dekat oleh para pelabur, yang bimbang penggantian politik di salah sebuah ekonomi paling pesat berkembang di Asia itu boleh menjejaskan perolehan yang dibuat ketika kepimpinan Aquino.

p13-2_20151208

Di bawah kepimpinan Aquino, Filipina telah menyaksikan pertumbuhan tahunan ekonomi lebih enam peratus secara purata, rekod lima tahun terbaiknya dalam tempoh empat dekad. Beliau juga berusaha mengekang rasuah.

Kira-kira 54 juta orang Filipina layak mengundi untuk memilih presiden, timbalan presiden dan lebih 18,000 eksekutif kerajaan tempatan dan ahli undangan dalam pilihan raya umum yang diadakan setiap enam tahun.

Pengganti yang dipilih Aquino, bekas Menteri Dalam Negeri, Manuel ‘Mar’ Roxas, berada di tempat keempat dalam tinjauan pendapat, jatuh dari sokongan 20 peratus pada September kepada 15 peratus.

Penganalisis politik berkata kenaikan sokongan bagi Duterte mungkin disebabkan perjuangannya bagi anti jenayah. Sebagai Datuk Bandar, Duterte telah mengubah reputasi Davao, yang pernah menjadi salah sebuah bandar paling dibelenggu jenayah di negara itu. – Reuters