Datuk bandar, empat pegawai polis ditahan bakar mayat

Datuk bandar, empat pegawai polis ditahan bakar mayat

MORELIA, Mexico, 2 Ogos – Seorang datuk bandar dan empat pegawai polis ditahan bersabit dengan pembunuhan 10 orang dengan mayat mereka dibakar, kata pegawai semalam, dalam skandal terbaru yang membabitkan anggota keselamatan negara.

Mangsa ditemui dalam trak terbakar di barat negeri Michoacan pada Sabtu. Pihak berkuasa pada mulanya percaya kenderaan tersebut telah meletup ketika kecurian minyak.

Namun peguam negara, Jose Martin Godoy, berkata datuk bandar Alvaro Obregon dan empat pegawai polis, termasuk seorang komander, ditahan berhubung kematian tersebut.

Gabernor Michoacan Silvano Aureoles berkata sebelumnya ketua polis bandar, penolongnya dan seorang penyiasat ditahan untuk disoal siasat.

Siasatan “memperkukuh hipotesis” penglibatan oleh “pegawai perbandaran,” beritahu Aureoles kepada wartawan, menambah juga terdapat “beberapa tuduhan” ke atas datuk bandar.

Pegawai polis dalam tiga kenderaan majlis perbandaran Alvaro Obregon menahan sekumpulan orang pada malam Jumaat di sebuah kedai runcit di bandar Cuitzeo dan memaksa mereka memasuki sebuah trak merah, kata Godoy.

Saksi berkata datuk bandar, Juan Carlos Arreygue, telah mengarah polis supaya menahan kumpulan itu dan beliau hadir apabila mereka ditahan, katanya.

Salah seorang daripada mereka yang ditahan oleh pegawai mempunyai ‘perselisihan’ dengan datuk bandar, kata pendakwa.

“Selepas penahanan, di bawah arahan daripada datuk bandar, orang awam diculik dan dipaksa memasuki sebuah van,” tambah beliau, memetik saksi yang tidak dikenalpasti.

‘Kemudian, mereka membawa mayat ke sebuah ladang di bandar Cuitzeo di mana mereka dibakar.” – AFP