Datuk Bandar New York kutuk kejadian rogol

Datuk Bandar New York kutuk kejadian rogol

NEW YORK, 11 Jan (Reuters) – Datuk Bandar New York, Bill de Blasio, semalam mengutuk kejadian rogol ke atas seorang wanita oleh lima lelaki di taman permainan Brooklyn dan berjanji polis akan segera menangkap suspek jenayah keji itu.

Menurut polis, lima suspek merogol wanita berusia 18 tahun itu secara bergilir-gilir di taman permainan yang dikendalikan Jabatan Taman Bandaraya New York sejurus jam 9.00 malam waktu tempatan Khamis lalu.

Seorang daripada suspek mengacu senjata ke arah bapa mangsa dan mengarahkan beliau meninggalkan tempat itu. Selepas bapa mangsa berbuat demikian, mereka menyerang mangsa.

Suspek melarikan diri selepas bapa mangsa kembali tidak lama kemudian, diiringi dua pegawai polis. Mangsa dirawat di hospital dan dibenarkan keluar.

Polis menyiarkan video pemantauan yang diambil dari kedai runcit berhampiran yang menunjukkan lima suspek sebelum serangan.