Datuk Bandar selatan Filipina cedera ditembak

Datuk Bandar selatan Filipina cedera ditembak

MANILA, 7 Feb – Datuk Bandar di Filipina cedera ditembak dalam serang hendap di selatan negara itu yang bergolak, dua hari sebelum kempen rasmi pilihan raya umum Mei ini bermula.

Penyerang menunggang motosikal melepaskan tembakan ke arah Jasper Que ketika beliau memandu bersama dua pengawal peribadinya di bandar raya Zamboanga kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan, kata jurucakap polis bandar raya itu, Inspektor Kanan Helen Galvez.

Que, yang tidak bertanding semula, ialah Datuk Bandar Bongao, pekan persisiran pantai terpencil di Tawi-Tawi, gugusan kepulauan di selatan negara itu.

Que, yang cedera terkena tiga das tembakan di lengan, kaki dan punggung, semakin pulih di hospital di Zamboanga manakala penyerang berjaya melarikan diri.

Tidak dapat dipastikan sama ada serangan itu berkaitan pilihan raya, kata Galvez. Que ialah anggota Parti Liberal pimpinan Presiden Benigno Aquino.

Pilihan raya di negara itu kerap dicemari keganasan disebabkan persaingan sengit politik. Pada 2010, 179 terbunuh atau cedera dalam serangan berkaitan pilihan raya. – AFP