Datuk Lee Chong Wei ikon terbaik badminton M’sia

Datuk Lee Chong Wei ikon terbaik badminton M’sia

RIO DE JANEIRO, 22 Ogos – Pemain badminton kesayangan Malaysia, Datuk Lee Chong Wei tetap menjadi ikon terbaik badminton negara itu, namun kempen Olimpik beliau di Rio berakhir sebagai saat paling menyedihkan dalam hidupnya.

Beliau datang dengan harapan menggunung tinggi untuk menggenggam sebutir pingat emas sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada sukan badminton.

Bagaimanapun pemain berusia 33 tahun itu diselubungi emosi, menggenang air mata, suaranya pula tersekat-sekat ketika bercakap kepada media sejurus selepas kecundang dalam usaha terakhirnya untuk meraih kejuaraan sulungnya dalam Olimpik.

Wakil China, Chen Long menusuk luka yang amat mendalam apabila beliau menghalang Chong Wei daripada memenuhi impiannya bukan sahaja sebagai pemenang pingat emas Olimpik, bahkan selaku juara dunia.

Chen Long mengalahkan Chong Wei 21-18, 21-18 untuk memenangi emas manakala Chong Wei memperoleh pingat perak ketiganya dalam penampilan keempat beliau di Sukan Olimpik.

Datuk Lee Chong Wei menunjukkan pingat yang dimenanginya selepas perlawanan akhir di Riocentro Pavilion 4 pada Sukan Olimpik Rio 2016 Sabtu lalu. – Bernama
Datuk Lee Chong Wei menunjukkan pingat yang dimenanginya selepas perlawanan akhir di Riocentro Pavilion 4 pada Sukan Olimpik Rio 2016 Sabtu lalu. – Bernama

“Saya mahu pulang jumpa isteri dan dua anak saya… ini kejohanan yang sangat panjang,” kata Chong Wei, yang tiba di Rio tiga minggu lepas untuk melakar sejarah tersendirinya di temasya Olimpik.

“Saya terpaksa akur bahawa saya ditakdirkan untuk menjadi pemenang pingat perak di sini,” katanya.

Sepanjang kerjayanya yang begitu gemilang dalam sukan badminton, Chong Wei hanya gagal menjuarai tiga kejohanan — Sukan Asia, Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik.

Dalam kesemua kejohanan berkenaan, halangan terbesar Chong Wei datangnya daripada dua wakil China, Lin Dan serta Chen Long.

Tey Seu Bock, jurulatih Chong Wei sejak sekian lama, menarik perhatian bahawa pencapaian Chong Wei tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pemain kebangsaan yang lain, dan mungkin tiada yang dapat menyamainya. – Bernama