Datuk Masiung selamat dalam kemalangan tiga kenderaan

Datuk Masiung selamat dalam kemalangan tiga kenderaan

TUARAN, 25 Sept – Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Masiung Banah terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di simpang tiga berhampiran Marabahai, Jalan Berungis-Tenghilan di sini pagi ini, namun beliau dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Abdul Fuad Abdul Malek berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, seorang wanita cedera parah akibat tersepit dalam kereta dipandunya dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan.

Difahamkan ketika kejadian, Masiung bersama-sama tiga penumpang lain yang menaiki Toyota Land Cruiser sedang dalam perjalanan untuk menghadiri satu program belia di Kota Belud yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, katanya ketika dihubungi Bernama.

Abdul Fuad berkata kereta jenis Perodua Axia dipandu wanita itu dipercayai keluar dari simpang secara tiba-tiba mengakibatkan kereta dinaiki Masiung gagal untuk mengelak.

“Akibat daripada pelanggaran itu, sebuah kereta Perodua Kancil yang berhenti untuk masuk simpang turut dirempuh oleh Perodua Axia terbabit,” katanya.

Katanya Masiung bersama-sama tiga penumpang lain serta pemandu Perodua Kancil tidak mengalami sebarang kecederaan. – Bernama