Datuk Noriah banyak berdiam sebelum nahas

Datuk Noriah banyak berdiam sebelum nahas

KUCHING, 6 Mei (Bernama) – Mayat mangsa tragedi helikopter yang ditemui di tebing Sungai Batang Lupar, Sebuyau, disahkan jenazah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, kata setiausaha sulitnya, Abidin Supardi.

Abidin berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah jenazah Allahyarhamah di Hospital Umum Sarawak di sini.

Turut berada di dalam helikopter itu ialah suami Allahyarahamah, Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Mayat Datuk Noriah ditemui dalam keadaan tertiarap di tebing sungai Batang Lupar tengah hari tadi, kata Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon 2 Sarawak Azman Julaihi.

Beliau yang merupakan komander operasi mencari dan menyelamat (SAR) JBPM berkata mayat wanita itu ditemui berhampiran serpihan pesawat.

Anggota Bomba dan Penyelamat mengusung mayat wanita yang ditemui di tebing Batang Lupar, 12 tengah hari kelmarin yang disahkan jenazah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon. - Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat mengusung mayat wanita yang ditemui di tebing Batang Lupar, 12 tengah hari kelmarin yang disahkan jenazah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon. – Bernama

“Kita berharap semua mangsa dijumpai secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Abidin pula memberitahu, allahyarham Datuk Noriah kelihatan lebih banyak berdiam diri kebelakangan ini.

Beliau yang sudah 12 tahun menjadi setiausaha sulit Noriah berkata: “Semasa di dalam helikopter kami datang ke Betong, saya tengok beliau banyak berdiam diri,” kata Abidin yang turut menaiki helikopter bersama Noriah ketika itu.”

Abidin berkata setelah membuat pengecaman dari segi pakaian dan anggota badan, beliau mengesahkan ia adalah mayat Allahyarham Noriah.

Mengenai Anggota Parlimen Kuala Kangsar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Wan Mohammad Khai-ril Anuar Wan Ahmad, Abidin berkata beliau memang bertukar pesawat semasa pulang dari Betong.

Katanya Datuk Wan Mohammad Khair-il menaiki pesawat malang itu sementara beliau menaiki helikopter yang kedua.

Selain Noriah dan Wan Mohammad Khair-il, suami Noriah, Asmuni Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas menaiki pesawat itu.

Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang menghala ke Kuching sebelum nahas itu berlaku. Noriah berada di Betong untuk menjalankan tugas berkaitan kementeriannya semasa kempen pilihan raya negeri ini yang hari pengundiannya esok.