David Foster duta jenama global baru

David Foster duta jenama global baru

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd, hari ini mengumumkan pelantikan pemenang anugerah Grammy 16 kali, David Foster, sebagai duta jenama global baharu bagi rangkaian produk premiumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes berkata kerjasama berkenaan akan mewujudkan pasaran baharu bagi syarikat penerbangan itu kerana syarikat terus berkembang daripada hanya syarikat penerbangan tambang murah kepada syarikat penerbangan dengan produk terbaik.

“Perkongsian dengan David bagi Premium Flex dan Premium Flatbed, akan meningkatkan kedua-dua produk ini ke tahap yang lebih tinggi, “ katanya kepada media selepas mengumumkan pelantikan itu.

Premium Flex merupakan produk khusus yang menawarkan fleksibiliti kepada pengembara dan nilai lengkap antaranya dengan bagasi 20 kilogram percuma dan makanan dalam penerbangan.

Fernandes berkata dengan Foster sebagai imej jenama global, syarikat penerbangan itu berharap dapat menarik lebih ramai pelanggan seperti dalam sektor korporat.

“David mempunyai personaliti yang baik dan semangat yang tinggi dalam segala yang dilakukannya. Kami berharap melibatkan (pelanggan) melalui muzik,” katanya.

Foster, seorang ahli muzik, penulis lagu, penerbit dan artis rakaman terkenal di dunia, berkata: “Saya mengharapkan satu perkongsian hebat dengan AirAsia apabila memulakan perkongsian ini.” – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA