David Luiz, Cavani takut kembali ke Paris

David Luiz, Cavani takut kembali ke Paris

LONDON, 16 Nov (Agensi) – Bintang Paris Saint-Germain (PSG), David Luiz berkata, dia tidak mahu pulang ke kelabnya berikutan serangan pengganas yang menggemparkan ibu negara Perancis menyebabkan 129 orang awam terkorban. Luiz, yang kini bersama skuad kebangsaan Brazil, dijadualkan kembali ke Eropah selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia negaranya menentang Peru esok. Bagaimanapun, pemain pertahanan bernilai 50 juta pound yang dibeli dari Chelsea itu masih ragu-ragu untuk pulang kerana bimbang dengan keselamatan keluarga dan kawan-kawannya di Paris.

Luiz, 28, dibuang padang pada penghujung perlawanan sewaktu Brazil terikat 1-1 dengan Argentina dalam perlawanan persahabatan Jumaat lalu, yang turut menyaksikan seluruh stadium bertafakur selama seminit sebelum sepak mula. “Saya mempunyai teman wanita, beberapa ahli keluarga dan rakan-rakan saya di Paris. Mereka sangat sedih dan takut. Saya tak tahu apa yang perlu saya lakukan, sama ada saya perlu pulang semula (ke Paris).

“Bermain untuk PSG merupakan tugas saya, namun jika pilihan diberikan kepada saya, saya tidak mahu pulang,” kata Luiz.

Luiz belum mempunyai anak, namun tinggal lama bersama dengan teman wanita warga negara Portugal, Sara Madeira. PSG akan kembali beraksi Sabtu ini dengan menentang Lorient, sebelum bertemu Malmo dalam kempen Liga Juara-juara empat hari kemudian. Pendahulu Ligue 1 itu seterusnya bakal menerima kunjungan Troyes pada 28 November.

Selain Luiz, penyerang Uruguay, Edinson Cavani adalah antara pemain lain yang dikatakan keberatan untuk kembali ke Perancis selepas peristiwa ngeri di Paris itu.

Bintang berusia 28 tahun itu juga menggalas tugas kebangsaannya dalam saingan pertama kelayakan Piala Dunia peringkat Amerika Selatan dan Cavani beraksi selama 90 minit bersama Uruguay yang kalah 1-2 kepada Ecuador.

ARTIKEL YANG SAMA