Davies juara WSBK di Sepang

Davies juara WSBK di Sepang

SEPANG, 2 Ogos (Bernama) – Chaz Davies dari Aruba.It Racing Ducati berjaya menghalang Jonathan Rea dari Kawasaki Racing Team daripada merangkul gelaran juara dunia di Kejohanan Superbike Dunia (WSBK)-FIM di Litar Antarabangsa Sepang, di sini semalam.

Davies, penunggang dari Great Britain muncul pemenang Perlumbaan 2 selepas mencatat masa 33 minit 36.466 saat, 0.091s di depan Rea yang menduduki tempat kedua dalam perlumbaan 16 pusingan itu.

Jordi Torres dari Aprilla Racing Team pula di tempat ketiga dengan catatan 33:41.474s. Rea, juga dari Great Britain hanya perlu menang Perlumbaan 2 untuk memastikan gelaran dunia miliknya selepas memenangi Perlumbaan 1 yang diadakan sebelum ini.

“Sejujurnya, saya hanya mengekalkan tempo pecutan di pusingan akhir. Saya berterima kasih kepada pasukan yang menyediakan motosikal yang memudahkan saya menunggangnya.

“Saya mempunyai satu peluang untuk memenangi gelaran juara dunia hari ini tetapi pada selekoh terakhir, Chaz berjaya memintas saya,” kata Rea.

Davies (duakanan) ketika acara penyampaian hadiah selepas selesai perlumbaan kedua Superbike Dunia (WSBK)-FIM di Litar Antarabangsa Sepang semalam. – Bernama
Davies (duakanan) ketika acara penyampaian hadiah selepas selesai perlumbaan kedua Superbike Dunia (WSBK)-FIM di Litar Antarabangsa Sepang semalam. – Bernama

Keputusan itu menyaksikan Davies naik ke tangga kedua keseluruhan dengan 308 mata manakala Rea kekal mendahului dengan 452 mata tetapi rakan sepasukannya Tom Sykes dengan 295 mata turun ke tangga ketiga.

Kini hanya berbaki tiga pusingan lagi bagi kejohanan musim ini dengan perlumbaan seterusnya di Litar Jerez, Sepanyol pada 20 Sept.

“Saya menghadapi masalah cengkaman tayar pada pusingan terakhir dan hanya bertahan dan berharap tidak melakukan kesilapan…ia memang bukan mudah.

“Motosikal saya seperti bergerak perlahan dan dia (Rea) pula mengekalkan kelajuannya. Kami juga bergeser tadi dan mujur masing-masing dapat mengawal kenderaan dan saya rasa kami benar-benar menikmati perlumbaan ini,” kata Davies.