Day ungguli PGA Players Championship

Day ungguli PGA Players Championship

MIAMI, 16 Mei (AFP) – Jaguh nombor satu dunia Jason Day menyambar gelaran Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) kedua berturut-turut pada saingan PGA Players Championship, dengan membenam satu di bawah par 71 pada pusingan terakhir untuk mengatasi Kevin Chappell dengan empat pukulan.

Day menyamai rekod lapangan TPC Sawgrass dengan mencatat 63 pukulan pada pusingan pembukaan diikuti 66 pukulan hari kedua untuk mengumpul keseluruhan 15 di bawah par 273.

Bintang Australia berusia 28 tahun itu menyambar gelaran peribadi ke-10 Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) dan hadiah utama $1.89 juta pada acara terbabit.

Kemenangan ketujuh Day pada 17 penampilan terakhir adalah yang kelima berturut-turut ketika mendahului selepas 54 lubang.

Chappell melakukan 69 pukulan untuk menamatkan cabaran di tempat kedua dengan 11 di bawah par 277, satu pukulan di depan rakan senegara dari AS Justin Thomas, Ken Duke, Matt Kuchar dan Colt Knost.

Jason Day merangkul trofi kejuaraan selepas menewaskan Kevin Chappell dengan empat pukulan pada saingan PGA Players Championship, semalam. – AP
Jason Day merangkul trofi kejuaraan selepas menewaskan Kevin Chappell dengan empat pukulan pada saingan PGA Players Championship, semalam. – AP

Pemain Itali Francesco Molinari dan Hideki Matsuyama dari Jepun berkongsi tempat ketujuh dengan 279.

Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas Day menguasai saingan sejak hari pertama, dan ia bukan kali pertama selepas dia turut muncul pendahulu semua pusingan di Jemputan Arnold Palmer di Bay Hill, sebelum ini.

Sejak 1980, hanya Tiger Woods meraih dua kemenangan berturut-turut di Jelajah PGA AS dalam tahun yang sama.

Day ketika ini sedang berada pada prestasi terbaik apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik pada empat major terakhir dan akan cuba menambah koleksi pada Terbuka AS, bulan depan.

ARTIKEL YANG SAMA