Daya saing global M’sia melonjak

Daya saing global M’sia melonjak

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) – Malaysia melonjak dua tangga ke kedudukan ke-18 daripada 140 negara, mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan 20 ekonomi utama paling berdaya saing di dunia, rangking tertingginya sejak 2005.

Laporan Daya Saing Global 2015-2016, yang diumumkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) hari ini, menyenaraikan Malaysia di tangga ke-18 dengan skor 5.23 daripada tangga ke-20 dalam kalangan 144 negara tahun lepas.

Malaysia juga kekal berada di kedudukan teratas dalam kalangan negara membangun Asia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata peningkatan rangking itu adalah berita yang dialu-alukan dalam konteks persekitaran global yang mencabar ketika ini.

“Ranking ini juga merupakan sokongan terhadap kemajuan yang dicatatkan negara dalam meningkatkan kecekapan dan daya saing menerusi Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Suasana di North Port Pelabuhan Kelang dalam satu gambar tidak bertarikh. Malaysia melonjak ke tangga ke-18 daripada 140 negara dalam kalangan 20 ekonomi utama paling berdaya saing di dunia. – Reuters
Suasana di North Port Pelabuhan Kelang dalam satu gambar tidak bertarikh. Malaysia melonjak ke tangga ke-18 daripada 140 negara dalam kalangan 20 ekonomi utama paling berdaya saing di dunia. – Reuters

Beliau berkata, disokong oleh asas ekonomi kukuh, Malaysia berada di landasan baik untuk meneruskan kemajuannya ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang apabila negara berjaya merapatkan jurang dengan pendapatan per kapita kasar negara berada pada US$10,660 tahun lepas.

Menurut laporan itu, Malaysia merupakan ekonomi paling berdaya saing dalam kalangan 20 ekonomi yang berada pada tahap peralihan daripada ekonomi berasaskan kecekapan kepada ekonomi berasaskan inovasi.

Dengan prestasi daya saing dipertingkatkan, Malaysia terus mendahului ekonomi-ekonomi utama seperti Belgium, Luxembourg, Australia, Perancis, Austria, Ireland, Arab Saudi dan Korea Selatan.

Switzerland berada di kedudukan pertama bagi tujuh tahun berturut-turut dalam Indeks Daya Saing Global (GCI) 2015-2016, diikuti Singapura, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Belanda, Jepun, Hong Kong, Finland, Sweden, United Kingdom, Norway dan Denmark.

WEF menjelaskan lagi peningkatan kestabilan makroekonomi Malaysia (di kedudukan ke-35, naik sembilan mata) adalah hasil terutamanya daripada pengurangan defisit bajet pada 3.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, yang terendah dalam tempoh enam tahun.