Dayang Merlini kini menarik nafas lega

Dayang Merlini kini menarik nafas lega

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 13 Julai – Penerima rumah bantuan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) Dayang Merlini binti Abdullah bersama suaminya Awang Mursidi bin Abdullah @ Tubai Anak Lepa kini dapat menarik nafas lega setelah masalah tersumbatnya lubang utama pembetungan najis di kawasan belakang rumahnya yang dihadapi sejak bulan Ramadan lalu, telah dibaiki kelmarin.

Awang Mursidi, 70, semasa ditemui Media Permata, hari ini, merakamkan penghargaannya kepada pihak agensi kerajaan berkenaan yang telah bertindak pantas membantu mereka, daripada masalah yang dihadapi sejak mereka berpindah ke rumah baru itu bulan lalu.

Akibat kerosakan sistem saliran pembetungan najis di rumah baru mereka itu, Awang Mursidi terpaksa membersihkan air najis yang naik dengan menggunakan baldi menggayungnya sehingga lebih 40 ke 70 gayung sehari selama lebih sebulan dan membuangnya ke longkang besar yang digalinya di belakang rumah.

Selain rasa tidak selesa akibat bau busuk, Awang Mursidi juga mendakwa telah mengalami sakit belakang dan telah ditahan di hospital pada bulan Ramadan lalu, dan dinasihatkan pihak hospital supaya tidak melakukan kerja mengangkut air lagi kerana keadaannya.

Namun, menurutnya, dia tiada jalan lain selain terpaksa melakukannya sehinggalah pada Hari Raya pertama hingga Hari Raya keenam kerana anak-anaknya semua tinggal di Bandar Seri Begawan, selain hanya seorang anak perempuannya dan dua cucunya yang masih kecil.

Haji Roslan semasa tinjauan ke rumah Dayang Melini dan Awang Mursidi di Kampung Lumut kelmarin.
Haji Roslan semasa tinjauan ke rumah Dayang Melini dan Awang Mursidi di Kampung Lumut kelmarin.

Masalahnya itu berakhir, apabila pihak kontraktor datang melawat rumahnya ekoran tersiarnya cerita keluarga itu dalam media tempatan Isnin lalu, dan kerja-kerja pembaikpulihan telah dilaksanakan segera.

Dengan berakhirnya masalah itu, keluarga berkenaan kini lebih selesa dan melahirkan rasa amat bersyukur.

“Semasa Hari Raya, untuk menghindari daripada air najis terus melimpah, saya terpaksa juga menggayung dan membuangnya, kemudian pergi mandi untuk menghilangkan bau busuk badan saya, tetapi saya berterima kasih kerana pihak berkenaan telah menyelesaikan masalah kerosakan dengan memasangkan paip sepanjang kira-kira hampir 20 meter untuk saliran terus ke longkang besar kawasan rumah kami,” kata Awang Mursidi.

Berikutan dengan itu, pihak Pusat Dakwah Islamiah yang diwakili Ketua Unit Dakwah cawangan Daerah Belait, Haji Roslan bin Haji Ratu bersama pegawainya telah membuat tinjauan ke rumah berkenaan petang tadi, bagi memastikan kerja-kerja pembaikpulihan telah dilaksanakan sepenuhnya dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh keluarga berkenaan.

Haji Roslan berkata, lawatan mereka itu sepatutnya turut disertai oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Pembangunan dan Majlis Ugama Islam Brunei, tetapi oleh sebab ada perkara yang tidak dapat dielakkan maka tinjauan daripada mereka terpaksa dibatalkan hari ini.

“Agensi kerajaan berkenaan begitu prihatin ke atas masalah yang telah disiarkan ke dalam media baru-baru ini, dan kami terus bertindak untuk memastikan pihak kontraktor melaksanakan segera kerja membaik pulih,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA