DBP anjur pelbagai aktiviti semasa musim cuti sekolah

DBP anjur pelbagai aktiviti semasa musim cuti sekolah

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan pelbagai aktiviti dalam bulan ini dan Disember depan bersesuaian dengan cuti penggal persekolahan akhir tahun yang akan bermula tidak lama lagi.

Semasa sidang media memberigakan program-program DBP, di Bilik Laila Muafakat DBP, hari ini, Pengarah DBP, Hajah Aminah binti Haji Momin memberitahu salah satu program yang akan dijalankan tidak lama lagi ialah Bengkel Penulisan Kanak-kanak bagi Bahan Bacaan Kanak-kanak yang akan diadakan pada 21 November di Balai Sarmayuda DBP, Berakas.

Menurut beliau, objektif bengkel adalah untuk melahirkan penulis kanak-kanak yang berkualiti, menghasilkan bahan bacaan yang sesuai dengan pemikiran kanak-kanak dan menggalakkan mereka menghayati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara di samping menyemarakkan Sambutan Bulan Bahasa 2015.

Program lain termasuk penyampaian hadiah Peraduan Menulis Karangan Majalah Mekar Juara Pelajar DBP 2015 dan Majlis Penyampaian Hadiah Kerajinan Membaca pada 28 November ini di tempat yang sama.

Manakala itu, Gema Gendang Bahasa dan Budaya 2015 akan diadakan pada 5 Disember di Kompleks Bumiputera, Daerah

Temburong dan Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Cerpen dan Kritikan Sastera Bahana DBP 2015 pada 15 Disember di Mangrove Paradise Resort, Kampung Sungai Belukut Jalan Kota Batu.

Hajah Aminah menambah, kegiatan dan aktiviti lain yang akan diadakan semasa Gema Gendang Bahasa dan Budaya 2015 adalah pertandingan pakaian tradisi tujuh puak Melayu Brunei, pertandingan merasa dan mengenal kuih-kuih Melayu, aktiviti menumpah ambuyat, membungkus lapat udang, membungkus wajid dan menjalin kelupis, pameran dan jualan herba, akar-akar dan kraf tangan, menambat dastar dan menapih sinjang.

Gema Gendang Bahasa dan Budaya 2015 bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan jati diri bangsa serta memupuk rasa pemilikan terhadap bahasa ibunda.

ARTIKEL YANG SAMA