DBP anjur Peraduan Esei Bahasa

DBP anjur Peraduan Esei Bahasa

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Bersempena dengan Sambutan Hari Bahasa 2016, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa akan menganjurkan Peraduan Menulis Esei Ilmiah Bahasa 2016.

Peraduan itu difokuskan pada penulisan tentang isu dan perkembangan Bahasa Melayu di mana peraduan itu merupakan julung-julung kali diadakan sempena Sambutan Bulan Bahasa.

Peraduan itu dibukakan kepada semua warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berusia 18 tahun ke atas pada atau sebelum tarikh tutup penyertaan iaitu pada pukul 4 petang, 31 Januari 2017.

Antara syarat dan peraturan bagi peraduan itu, esei mestilah berbentuk ilmiah tentang isu dan perkembangan Bahasa Melayu, ditulis dalam Bahasa Melayu dengan menggunakan sistem ejaan rumi baru yang digunakan pada masa ini, mengandungi abstrak dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris serta sesuai untuk bacaan umum dan tidak menyentuh perkara-perkara yang boleh dianggap sensitif dan boleh menyinggung perasaan kaum, kepercayaan, agama dan budaya negara ini.

Panjang manuskrip hendaklah tidak kurang 4,000 patah perkataan tidak termasuk nota kaki dan bibliografi dengan rupa taip Times New Roman, poin 12, langkau baris 1.5 pada sebelah muka surat kertas berukuran A4, manuskrip mestilah dihantar dalam lima salinan berbentuk jilid sisir termasuk salinan asal yang disalin ke dalam cakera padat dan rencana mestilah asli, bukan terjemahan, saduran atau apa sahaja yang menyebabkannya bukan karya asli.

Peraduan itu bertujuan untuk memberigakan peranan DBP sebagai sebuah agensi kerajaan yang menyalurkan pelbagai ilmu pengetahuan kepada masyarakat di negara ini melalui bahan penerbitannya, mendukung visi dan misi DBP, mendukung hasrat negara untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara melalui hasil penulisan, mempertingkat pengetahuan penulis mengenai pentingnya penulisan ilmiah dan memperkaya khazanah ilmu khususnya yang berkaitan isu-isu bahasa dalam bahasa dan perkembangan Bahasa Melayu.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memupuk dan mengembangkan upaya kreativiti dan daya fikir kritis penulis dalam mengupas isu-isu bahasa, memperbanyakkan hasil penulisan dalam esei-esei ilmiah serta mengembangkan bakat penulis dalam bidang penulisan rencana umum.

Pemenang Peraduan Menulis Esei Ilmiah Bahasa itu akan menerima hadiah-hadiah dengan hadiah penghormatan pertama berupa wang tunai $2,500, kedua $2,000 dan ketiga sebanyak $1,500 berserta plat dan sijil, manakala itu tiga lagi akan menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai $1,000 berserta plak dan sijil.

ARTIKEL YANG SAMA