DBP anjur Program Literasi Awal

DBP anjur Program Literasi Awal

Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain

TEMBURONG, 19 Sept – Program Literasi Awal merupakan salah satu program negara anjuran Bahagian Perpustakaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk melahirkan masyarakat yang intelek, berwawasan, berpengetahuan dan mantap.

Projek berfasa ini dilaksanakan bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, akan kepentingan kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira bagi melahirkan masyarakat yang berilmu, bermaklumat, berpengetahuan, berkualiti dan berdaya saing.

Projek tahunan DBP ini menyediakan pek literasi awal berupa buku-buku panduan dan alat bantu mengajar kepada kanak-kanak yang baru lahir dan memperkenalkan ‘Kad Diari Alai Pintar’ untuk menilai perkembangan kanak-kanak berumur 18-30 bulan yang lahir pada tahun 2014 dan 2015.

Tahun ini sekali lagi, pihak Perpustakaan DBP di Daerah Temburong mengadakan aktiviti berkumpulan melibatkan kira-kira 30 orang ibu bapa dan kanak-kanak damit yang berdaftar di daerah ini bersama para pegawai dan kakitangan perpustakaan Temburong dan Bandar Seri Begawan.

Ibu bapa bersama anak kecil mereka bergambar ramai di Perpustakaan Bangar.
Ibu bapa bersama anak kecil mereka bergambar ramai di Perpustakaan Bangar.

Acara yang berlangsung di bilik Perpustakaan DBP, baru-baru ini, itu antara lain mengajar kanak-kanak tentang fonik, mengenali bentuk, gambar, warna dan binatang di samping aktiviti bermain sambil bernyanyi dan doa penerang hati.

Program Literasi Awal ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para ibu bapa dengan adanya peningkatan jumlah ahli yang dicatatkan seramai 80 orang pada tahun 2014, 145 pada 2015 dan 300 orang bagi tahun 2016 setakat ini.

Program ini dilancarkan pada tahun 2014 dengan harapan untuk membuka minda dan kesedaran ibu bapa tentang kepentingan membaca dalam kalangan kanak-kanak dan meningkatkan budaya membaca dalam institusi keluarga bagi mendukung Wawasan 2035.

Ia juga diadakan sebagai pendedahan awal kaedah membaca kepada kanak-kanak di samping membudayakan masyarakat mesra perpustakaan.