DBP laksana kajian pantun Melayu Brunei

DBP laksana kajian pantun Melayu Brunei

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 17 Nov – Sebagai usaha mempertahankan, mengekalkan dan memperkasa pantun Melayu Brunei yang diwarisi secara turun-temurun, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Cawangan Penyelidikan dan Penelitian Sastera Unit Pembinaan Sastera, Bahagian Sastera, Majalah dan Jurnal mengambil inisiatif untuk mengungkayahkan penyelidikan mengenainya di negara ini.

Penyelidikan melibatkan menjejaki pantun Melayu Brunei di seluruh negara yang akan dilaksanakan dalam empat fasa dengan fasa pertama dijalankan di Daerah Temburong yang telah bermula semalam sehingga 19 November.

Manakala itu, fasa kedua pula melibatkan penyelidikan di Daerah Belait pada Februari dan Mac 2017, fasa ketiga di Daerah Tutong yang dirancang dilaksanakan pada Februari dan Mac 2017 dan fasa keempat di Daerah Brunei dan Muara yang dirancang dilaksanakan pada 2018.

Antara tujuan penyelidikan ini adalah untuk mendaulatkan kebudayaan Melayu selaras dengan visi DBP, memelihara dan mengembang majukan warisan bangsa-budaya Melayu demi mengangkat martabat serta maruah bangsa Melayu, serta menghargai seni pantun supaya kekal menjadi warisan turun-temurun dan sebagai khazanah milik generasi akan dating.

Para pegawai dari Cawangan Penyelidikan dan Penelitian Sastera Unit Pembinaan Sastera, Bahagian Sastera, Majalah dan Jurnal DBP sedang berinteraksi semasa Projek Penyelidikan Pantun Brunei di Daerah Temburong.
Para pegawai dari Cawangan Penyelidikan dan Penelitian Sastera Unit Pembinaan Sastera, Bahagian Sastera, Majalah dan Jurnal DBP sedang berinteraksi semasa Projek Penyelidikan Pantun Brunei di Daerah Temburong.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memperkasa keunikan dan kepentingan pantun Melayu Brunei dalam kehidupan.

Sementara itu, objektif penyelidikan adalah untuk menjejaki pantun Melayu Brunei di keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam, mengumpul pantun Brunei dan mengenal pasti kepentingan pantun dalam kehidupan masyarakat Melayu Brunei.

Projek ini diharap akan memperoleh nilai tambah bongkah kepustakaan/pendokumentasian pantun Melayu Brunei dan rujukan dalam penyebaran ilmu khususnya kesusasteraan dan kebudayaan Melayu dalam bentuk percetakan, serta kajian awal sebelum menjejaki penyebaran pantun Melayu Brunei ke Kepulauan Borneo.

ARTIKEL YANG SAMA