DBP pantau tahap literasi kanak-kanak

DBP pantau tahap literasi kanak-kanak

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)dengan kerjasama Unit Pemedulian dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Kementerian Pendidikan hari ini mengadakan sesi pemantauan dan ceramah di bawah Program Awal Literasi, di Tingkat Satu, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Sesi sempena Pesta Buku Brunei dan Karnival Memperkasa Budaya Membaca 2016 yang kini sedang berlangsung, memantau tahap literasi awal peserta yang dijemput dalam program itu. Pek buku-buku di bawah program literasi telah pun diagihkan kepada mereka pada bulan April tahun lalu.

Selepas setahun, kanak-kanak itu dinilai prestasi pembacaan dan reaksi mereka terhadap beberapa buah buku. Ia bertujuan memperbaiki kemahiran literasi mereka.

Program itu diharap mempertingkatkan lagi pembacaan mereka dan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

Ibu bapa bersama anak mereka yang dijemput ketika sesi pemantauan itu.
Ibu bapa bersama anak mereka yang dijemput ketika sesi pemantauan itu.

Setakat ini program ini dihadkan kepada sejumlah kanak-kanak, namun ia akan disebarluaskan tidak lama lagi.

Bagi ibu bapa yang berminat untuk mendaftarkan anak mereka untuk program itu, bolehlah mendaftar di Dewan Bahasa dan Pustaka, Bandar Seri Begawan.

Selain itu, DBP juga mempelawa Pegawai Unit Pemedulian dan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Kementerian Pendidikan, Hajah Siti Nursusilawati binti Haji Mohd Tahir dan Hajah Siti Radhiyah binti Haji Ibrahim untuk menyampaikan ceramah mengenai usaha menggalakkan anak-anak untuk mengamalkan budaya membaca daripada usia mereka masih kecil lagi.

ARTIKEL YANG SAMA