DBP semai minat membaca

DBP semai minat membaca

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Sebanyak 49 buah sekolah rendah, menengah dan maktab di seluruh negara hari ini menerima buku dan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Balai Sarmayuda, DBP.

Hadir menyerahkan buku-buku berkenaan ialah Pengarah DBP, Hajah Aminah binti Haji Momin yang berharap ia dapat menambahkan lagi koleksi bahan-bahan bacaan di perpustakaan institusi pengajian ini di seluruh negara, selain menyemai sikap rajin membaca dalam kalangan penggunanya.

Buku-buku terbitan DBP dalam Bahasa Melayu itu sesuai untuk bacaan tambahan para pelajar dan guru-guru khususnya, sesuai dengan usaha DBP dalam melaksanakan visi dan misinya untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Hajah Aminah ketika menyerahkan sumbangan buku dan majalah kepada wakil salah sebuah sekolah.
Hajah Aminah ketika menyerahkan sumbangan buku dan majalah kepada wakil salah sebuah sekolah.
Hajah Aminah ketika berucap di majlis tersebut.
Hajah Aminah ketika berucap di majlis tersebut.

“Menjadi hasrat dan harapan jabatan, penyerahan buku ini dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai koleksi bahan bacaan dan meluaskan serta mensosialisasikan budaya ilmu dalam kalangan pelajar dan guru-guru,” kata Hajah Aminah.

Beliau juga menggalakkan pelajar dan guru untuk mengunjungi perpustakaan terdekat dengan sekolah mereka selain mengalu-alukan pihak sekolah membeli buku dan melanggan jurnal serta majalah terbitan terbaru DBP untuk koleksi sekolah yang akan diberikan diskaun sebanyak 25-30 peratus bagi pembelian melebihi $50.

ARTIKEL YANG SAMA