DBP terima kunjungan pelajar Malaysia

DBP terima kunjungan pelajar Malaysia

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di ibu negara, hari ini, menerima kunjungan daripada rombongan seramai 20 orang murid dan tujuh guru dari Sekolah Rendah Kebangsaan Raub, Pahang Malaysia, yang berada di negara ini bagi rangka Program Perkongsian Amalan Terbaik Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan Melayu di Negara Brunei Darussalam.

Rombongan berkenaan diketuai oleh Guru Besar SK Bandar Raub, Pahang Malaysia, Dayang Norhasimah binti Muhammad.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DBP, lawatan berkenaan antara lain bertujuan meneroka dan mempelajari keunikan bahasa kebudayaan Melayu Brunei, serta untuk mengetahui program-program yang telah dilaksanakan oleh DBP sehingga berjaya mengangkat martabat Bahasa dan Kebudayaan Melayu Brunei.

Menurut Dayang Norhasimah, lawatan ke DBP itu merupakan salah satu perancangan dalam aktiviti lawatan kali pertama ke Brunei, dan murid-murid yang menyertai lawatan ke negara ini adalah mereka yang telah membuat sumbangan kepada sekolah dan murid terbaik dan cemerlang yang dipilih.

Antara pelajar-pelajar Malaysia yang menyertai lawatan tersebut.
Antara pelajar-pelajar Malaysia yang menyertai lawatan tersebut.

Dalam lawatan berkenaan, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Hajah Aminah binti Haji Momin telah menjelaskan mengenai latar belakang DBP serta aktiviti DBP mendaulatkan Bahasa Melayu Brunei sehingga ke hari ini.

Selain itu, beliau juga menerangkan mengenai peranan dan tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka dan usaha-usaha yang telah diungkayahkan sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan dalam memelihara perkembangan Bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam melalui berbagai-bagai program dan aktiviti.

ARTIKEL YANG SAMA