DBP terima kunjungan pelajar Malaysia

DBP terima kunjungan pelajar Malaysia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Dengan hasrat untuk menimba ilmu pengetahuan dan memartabatkan lagi penggunaan Bahasa Melayu, rombongan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kenangan, Batu Anam, Segamat, Johor Darul Ta’zim, Malaysia mengadakan lawatan sambil belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Lapangan Terbang Lama, Berakas, di sini, hari ini.

Rombongan seramai 16 pelajar dan tujuh guru yang diketuai oleh Hajah Faiza binti Abu Bakar itu dialu-alukan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Hajah Aminah binti Haji Momin.

Rombongan lawatan itu berada di Negara Brunei Darussalam dalam rangka program antarabangsa Malaysia-Brunei.

Hajah Aminah dalam kata alu-aluannya menerangkan mengenai struktur organisasi, sejarah ringkas penubuhannya serta peranan dan tanggungjawab DBP.

Sementara itu, Hajah Faiza dalam kata alu-aluannya pula menyentuh mengenai sekolah berkenaan dan matlamat lawatan sambil belajar iaitu untuk memberikan peluang kepada para pelajar menimba ilmu pengetahuan mengenai penggunaan Bahasa Melayu serta memberikan pendedahan kepada mereka supaya mampu untuk memartabatkan lagi Bahasa Melayu.

Hajah Aminah (4 kanan) dan Hajah Faiza (3 kanan) bersama para tetamu yang lain yang berada di Dewan Bahasa dan Pustaka, kelmarin.
Hajah Aminah (4 kanan) dan Hajah Faiza (3 kanan) bersama para tetamu yang lain yang berada di Dewan Bahasa dan Pustaka, kelmarin.

Rombongan turut berpeluang untuk menyaksikan tayangan klip video mengenai program dan kegiatan yang diselenggarakan oleh DBP serta dibawa melawat ke unit Majalah dan unit Jawi.

Lawatan itu adalah untuk mengetahui mengenai perkembangan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di negara ini serta untuk menambah pengalaman belajar dalam ilmu pendidikan melangkaui hubungan antarabangsa.

DBP merupakan sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan dalam memelihara dan memperkembangkan Bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam.

Ia mempunyai empat bidang peranan dan tanggungjawab yang utama iaitu Bahasa, Sastera, Perpustakaan dan Penerbitan yang mana ia melaksanakan pelbagai program serta kegiatan bagi mendaulatkan serta memperkasa penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara.

ARTIKEL YANG SAMA