DCA hantar pakar sebaik dapat pengesahan Mauritius

DCA hantar pakar sebaik dapat pengesahan Mauritius

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) – Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sedang menunggu pengesahan daripada badan kawal selia Mauritius sebelum mereka dapat menghantar pasukan pakarnya ke lokasi sebenar di mana satu lagi serpihan pesawat dijumpai minggu lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata DCA tidak dapat mengesahkan serpihan yang ditemui pada 2 April lalu adalah daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang sehinggalah ia diperiksa para pakar.

“Kami masih tunggu pengesahan daripada badan kawal selia Mauritius sehingga serpihan itu sampai ke tangan mereka, mungkin dalam masa terdekat, sehari dua ini.

“Kita akan gerakkan pasukan mengikut apa yang perlu dilakukan setelah diberitahu lokasi sebenar penemuan serpihan itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata serpihan baharu yang dijumpai itu akan dibawa balik ke Malaysia dan DCA akan bekerjasama dengan pihak-pihak yang boleh dipercayai dan boleh terus membantu dalam siasatan.

Sementara itu, Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia Darren Chester mengesahkan satu lagi serpihan yang dijumpai di Mauritius pada 2 April akan diperiksa berhubung kehilangan pesawat MH370.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam satu kenyataan menerusi laman webnya berkata serpihan yang baharu dijumpai itu merupakan satu item yang menarik.

“Kerajaan Malaysia sedang bekerjasama dengan para pegawai dari Mauritius untuk mendapatkan hak penjagaan serpihan itu dan menguruskan pemeriksaannya.

ARTIKEL YANG SAMA