DCA perlu proaktif

DCA perlu proaktif

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei mampu menjadi salah satu daripada 100 lapangan terbang terbaik di dunia mengikut kriteria dan tanda aras yang telah disediakan oleh Tinjauan Lapangan Terbang Dunia (WAS).

Oleh itu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) disarankan untuk menggalas cabaran bagi memasuki Lapangan Terbang Bertaraf Dunia (WRA) dan menjadikan lapangan terbang negara ini antara 100 yang terbaik di dunia.

Saranan itu dibuat oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Penerbangan Awam dan Sembahyang Sunnat Hajat Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Penerbangan Awam Antarabangsa 2015.

“Cabaran ini menghendaki kita mempunyai strategi yang bukan sahaja berteraskan aeronautik tetapi juga yang bukan aeronautik dan penyelidikan, dan idea-idea yang inovatif dan proaktif,” ulas beliau pada majlis yang berlangsung di Dewan Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menyarankan supaya DCA menggalas cabaran bagi men-jadikan lapangan terbang negara ini antara 100 yang terbaik di dunia.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menyarankan supaya DCA menggalas cabaran bagi men-jadikan lapangan terbang negara ini antara 100 yang terbaik di dunia.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa diberikan penerangan mengenai bahan-bahan pameran itu.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa diberikan penerangan mengenai bahan-bahan pameran itu.

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa menyatakan bahawa pihak pengurusan lapangan terbang seluruh dunia kini melibatkan diri dalam Perniagaan Pintar bagi meningkatkan keberkesanan strategi pemasaran dan meluaskan pendapatan daripada sumber bukan aeronautik.

“Sebagai contoh, kajian menunjukkan perniagaan runcit dan makan minum menyumbang sebanyak 31 peratus kepada pendapatan bukan aeronautik di seluruh dunia.”

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan DCA untuk lebih mengembangkan strategi pemasaran dan menjadikan lapangan terbang ini sebagai satu platform yang selesa dan mesra pelanggan serta bakal memberi pengalaman yang unik dan keBruneian.

Mengulas mengenai Projek Pemodenan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa berkata projek itu harus diteruskan dengan menumpukan kepada proses dan perisian di mana pihak yang berkenaan harus peka dan proaktif terhadap keperluan pengguna serta maklum balas daripada pengunjung dan pelawat terutama mengenai jurang-jurang yang masih ada dalam memberi maklumat dan kemudahan kepada mereka yang melancong ke negara ini.

“Lapangan terbang merupakan barisan pertama dalam memperkenalkan khazanah budaya, adat resam, sejarah dan pembangunan negara. Kita juga sudah celik ICT tetapi masih belum dimanfaatkan sebagai medium untuk menyalurkan maklumat yang berkesan dan membentuk persepsi yang positif daripada seseorang.”

Beliau menambah bahawa kemudahan seperti pengeluaran wang, pengangkutan, telekomunikasi, tempat makan dan penginapan merupakan keperluan paling asas bagi setiap pengunjung namun maklumat mengenai semua perkara itu masih belum jelas walaupun kemudahan berkenaan terdapat di celah-celah bangunan.

“Hakikatnya kita masih berhadapan dengan kekeliruan pelawat-pelawat dari dalam dan luar negara sehingga menjemput komen-komen yang kurang sedap didengar.”

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad, pengarah-pengarah bahagian di Kementerian Perhubungan, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta agensi-agensi berkepentingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Hari Penerbangan Awam Antarabangsa disambut setiap 7 Disember dan tema sambutan tahun ini ialah ‘Working Together to Ensure No Country is Left Behind’, mengisahkan mengenai inisiatif Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam usaha membantu negara-negara ahli melaksanakan standard dan amalan disyorkan (SARPS) di mana pelaksanaannya bertujuan bagi menjamin keselamatan penerbangan awam.

Bersesuaian dengan tema itu, pameran mini yang melibatkan penyertaan agensi-agensi berkepentingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei diadakan selama tiga hari bermula hari ini hingga 9 Disember yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa.

Pameran di Dewan Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei itu mempamerkan beberapa pameran menarik termasuk pameran kerjaya, perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di lapangan terbang. Majlis kemudian diteruskan dengan sembahyang sunat berjemaah, membaca Surah Yasin, tahlil dan doa selamat.

ARTIKEL YANG SAMA