DCL urus ketegangan di laut

DCL urus ketegangan di laut

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Domain maritim terus mempunyai kesan yang signifikan kepada kehidupan kerana capaian globalnya adalah merentas sempadan dengan sumber yang banyak untuk dituai bagi keperluan harian dan pada masa yang sama membawa kepada pembangunan serta kemakmuran negara.

Namun begitu, domain maritim juga mempunyai dinamik sekuriti serantau yang rumit dan mempunyai kepentingan utama kepada sekuriti serantau.

Dalam hubungan itu, semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang berlangsung di Malaysia baru-baru ini, pemimpin-pemimpin ASEAN menekankan semula pentingnya untuk mengekalkan keamanan, kestabilan, sekuriti dan kebebasan untuk mengemudi di dalam dan terbang di Asia Tenggara.

Memandangkan kepentingan strategik dan ketegangan yang berterusan di kawasan berkenaan, pelaksanaan hubungan komunikasi langsung dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) adalah amat penting, tekan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar Pertahanan dan Pembangunan), Kementerian Pertahanan, Awang Abu Suffian bin Haji Ali ketika berucap di Perasmian Mesyuarat Kumpulan Kerja Ad-Hoc kedua bagi Penubuhan Hubungan Komunikasi Langsung (DCL) dalam Proses Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.

Beliau menambah bahawa, DCL itu dihasratkan untuk menjadi kaedah bagi membangunkan keyakinan dan sekuriti yang diharap dapat mengurangkan kelemahan kepada salah perhitungan serta untuk mengelakkan kesalahfahaman dan kejadian yang tidak diingini di laut.

Awang Abu Suffian ketika menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Awang Abu Suffian ketika menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Di antara yang menghadiri mesyuarat berkenaan.
Di antara yang menghadiri mesyuarat berkenaan.
Awang Abu Suffian bergambar ramai dengan ketua-ketua delegasi yang menghadiri mesyuarat itu.
Awang Abu Suffian bergambar ramai dengan ketua-ketua delegasi yang menghadiri mesyuarat itu.

Ia juga menyediakan menteri-menteri pertahanan ASEAN dengan kaedah yang sulit, boleh dipercayai, pantas dan kekal bagi mereka untuk berkomunikasi di antara satu sama lain bagi mencapai keputusan bersama dalam pengendalian krisis atau situasi kecemasan khususnya yang berkaitan dengan sekuriti maritim.

Beliau menekankan lagi bahawa matlamat DCL bukannya bagi menteri-menteri pertahanan ASEAN untuk menyelesaikan isu-isu politik tetapi untuk mengurus secara efektif dan ketegangan jika berlaku kemungkinan pertemuan tentera, untuk mengurangkan peningkatan ketegangan serta untuk menyediakan saluran bagi reaksi awal yang pantas dan bantuan dalam situasi kecemasan.

Awang Abu Suffian turut menyatakan bahawa satu perkembangan yang telah dicapai adalah semasa Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pertahanan ASEAN (ADSOM) Februari lalu dan ADMM pada Mac lalu menerima cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh kumpulan kerja bagi pemerolehan penyelesaian suara (voice solution) untuk dipusatkan serta menyatakan sokongan penuh bagi Negara Brunei Darussalam untuk melaksanakan proses perolehan bagi pihak kesemua negara-negara anggota ASEAN.

Beliau berkata dengan kerjasama sepadu iaitu selaras dengan semangat bersatu-padu ASEAN, semua pihak menunjukkan keupayaan untuk menyelesaikan dan bertekad untuk mencapai matlamat penuh bersejarah dalam bidang kerjasama pertahanan ASEAN.

Mesyuarat kedua itu merupakan kesinambungan kepada mesyuarat pertama Kumpulan Kerja Ad-Hoc yang meletakkan asas bagi fasa pembangunan kepada penubuhan DCL dalam ADMM dengan inisiatif itu dibahagikan kepada tiga fasa dengan fasa pertama sedang dilaksanakan.

Ia akan menyaksikan perbincangan diteruskan bagi menetapkan susuan bagi fasa satu yang akan memberikan laluan kepada fasa-fasa seterusnya.

Mesyuarat itu dihadiri oleh pakar-pakar dalam bidang komunikasi dan teknologi di dalam bidang pertahanan dari kesemua negara-negara anggota ASEAN serta juga Sekretariat ASEAN yang membincangkan mengenai parameter teknikal, teknologi dan sekuriti bagi sistem DCL itu.

ARTIKEL YANG SAMA