DDMC giat pantau kebakaran

DDMC giat pantau kebakaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Belait masih giat memantau kebakaran yang berlaku di beberapa tempat di Daerah Belait sejak 25 Januari 2016.

Beberapa buah kem pangkalan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah ditempatkan di beberapa lokasi untuk mengendalikan operasi bagi menangani kebakaran berkenaan.

Kawasan-kawasan yang terjejas adalah seperti berikut: Sektor 1 – KM92 hingga 91 Seria Lumut, Sektor 2 hingga Badas Pipeline, Sektor 3 – KM20 hingga 17 Seria Belait Bypass dan Sektor 4 – KM17 hingga 13 berdekatan dengan RPN Lorong Tengah Seria .

Pelbagai agensi kerajaan yang terdiri dari Jabatan Kerja Raya (JKR), Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Jabatan Alam Sekitar Taman dan Rekreasi (JASTRe), Hospital Suri Seri Begawan, Pejabat Kesihatan Daerah Belait, Jabatan Perhutanan, Jabatan Sekolah-sekolah dan pihak Balai Bomba Brunei Shell Petroleum (BSP) telah dilibatkan sama bagi menangani kejadian kebakaran ini.

Pusat Operasi Kecemasan Daerah (DEOC) juga telah diaktifkan sejak 25 Januari 2016 yang berpusat di Jabatan Daerah Belait dan telah mengadakan permesyuaratan-permesyuaratan bagi membincangkan segala perancangan, operasi, keperluan logistik dan peruntukkan kewangan yang diperlukan.

Agensi-agensi yang berkepentingan seperti pihak JKR, PDB, JASTRe, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Ukur sejauh ini telah memberikan bantuan-bantuan logistik yang diperlukan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi memudahkan lagi operasi pemadaman di kawasan-kawasan kebakaran.

Kualiti udara juga dipantau secara berterusan oleh JASTRe, Kementerian Pembangunan dengan mengeluarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) di semua daerah termasuk bacaan PSI Daerah. Setakat semalam, kualiti udara di Daerah Belait pada keseluruhannya adalah pada tahap baik dengan bacaan antara 39 hingga 44.

Jabatan Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Sembahyang Sunnat Hajat dan Doa Khusus secara berterusan bagi memohon perlindungan setiap hari sejak 25 Januari lalu di semua masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Belait selepas sembahyang Fardu Maghrib.

Fasiliti-fasiliti kesihatan di Daerah Belait juga sentiasa memantau keadaan kesihatan penduduk di kawasan terjejas dan memastikan keperluan perubatan sentiasa boleh didapati dan mencukupi apabila diperlukan.

Selain itu, Jabatan Sekolah-sekolah sudah pun mempunyai Standard Operating Procedures (SOP) dalam menangani impak kejadian kebakaran hutan ini bagi menjaga kesejahteraan dan keselamatan pelajar sekolah rendah dan menengah khususnya bagi sekolah-sekolah yang berhampiran.

Radio Televisyen Brunei (RTB) juga melaporkan perkembangan secara aktif dan berterusan dengan memberi maklumat kepada orang ramai mengenai situasi kebakaran dan kualiti udara, penutupan jalan dan langkah berjaga-jaga dari aspek kesihatan yang perlu diambil.

DDMC Belait juga telah membincangkan dan telah mengenal pasti keperluan operasi dan logistik serta langkah-langkah lain termasuk melakukan operasi pemadaman kebakaran melalui udara (Water Bombing) dengan bantuan pihak yang berkenaan dan juga pelan mitigasi jangka masa sederhana dan panjang untuk melindungi kawasan tanah gambut bagi pemuliharaan jangka masa panjang.

Dalam kenyataan itu lagi, DDMC Belait mengingatkan orang ramai terutamanya di Daerah Belait supaya tidak melakukan pembakaran terbuka semasa musim kering terutama sekali di kawasan tanah gambut.

Sementara para pemandu dan pengguna jalan raya juga dinasihatkan lebih berwaspada semasa melalui kawasan-kawasan terjejas dan perlu peka kepada penutupan jalan sementara dan merancang masa atau perjalanan alternatif.

Orang ramai juga diingatkan supaya mengelakkan aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran di tepi jalan seperti pembuangan puntung rokok, dan melaporkan sebarang kebakaran dengan menghubungi talian kecemasan 995 secepat mungkin.

DDMC turut menasihatkan orang ramai agar menghindari daripada berada di luar rumah untuk tempoh masa yang panjang, mengurangkan aktiviti luar, mengamalkan kebersihan diri yang baik sepanjang masa seperti membasuh muka dan tangan apabila masuk ke rumah, minum banyak air, memakai krim pelembap untuk kulit kering dan menggunakan ‘preservative-free eye drops’ untuk mengelak iritasi mata.

Jika ada simptom seperti demam, alergi dan susah bernafas, sila dapatkan rawatan perubatan di pusat-pusat kesihatan atau hospital yang berdekatan.

Untuk mengetahui bacaan PSI, orang ramai boleh menghubungi talian Darussalam 123 atau 2241262 sambungan 405 atau melayari laman sesawang www.env.gov.bn dan mengikuti nasihat kesihatan di laman sesawang www.moh.gov.bn.

Sepanjang operasi menangani kebakaran ini, keselamatan anggota dan para petugas, pengguna jalan raya, orang ramai dan penduduk berhampiran sentiasa menjadi keutamaan tinggi kepada DDMC Belait.

Bagi sebarang aduan mengenai aktiviti pembakaran terbuka, orang ramai bolehlah menghubungi talian Darussalam 123.

ARTIKEL YANG SAMA