De Bruyne akur keputusan jurulatih

De Bruyne akur keputusan jurulatih

BORDEAUX, 20 Jun (AFP) – Kevin de Bruyne berkata dia tidak bimbang sekiranya digugurkan daripada kesebelasan utama Belgium selepas jurulatih, Marc Wilmots mengumumkan untuk melakukan rombakan besar-besaran sebelum pasukan itu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Ireland, kelmarin.

De Bruyne antara pemain yang dikritik selepas Belgium tewas 0-2 kepada Itali dalam aksi pembukaan Kumpulan E.

Bagaimanapun, pemain tengah itu kembali pada tahap prestasi sebenarnya ketika menentang Ireland di Bordeaux.

Selepas perlawanan dengan Ireland, Wilmots mengakui hanya bergurau terhadap ugutan yang dibuatnya itu kerana apa yang paling penting adalah Belgium kembali mencatat kemenangan.

“Kami menutup kritikan dengan aksi di atas padang selepas aksi hambar ketika bertemu Itali. Saya ada baca mengenai spekulasi, tetapi saya tidak pernah rasa tempat saya dalam kesebelasan utama akan terancam.

Kevin de Bruyne dalam satu sesi sidang media bersama para pemberita. – AFP
Kevin de Bruyne dalam satu sesi sidang media bersama para pemberita. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

“Saya buktikan kemampuan saya sebelum ini bersama skuad kebangsaan. Saya fikir kami bermain dengan baik dan banyak bersabar dengan pendekatan yang kami ambil,” kata De Bruyne.

Belgium akan melengkapkan saingan Kumpulan E dengan menentang Sweden di Nice, awal pagi Khamis ini.

“Bermula esok (hari ini) fokus kami adalah perlawanan menentang Sweden. Mereka pasukan yang baik dengan kehadiran pemain seperti Zlatan Ibrahimovic, mereka perlu menang dan pastinya mereka akan melancarkan serangan ke atas kami,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA