De Bruyne ‘bunuh’ PSG

De Bruyne ‘bunuh’ PSG

MANCHESTER, 13 April (AFP) – Manchester City melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat pertama kali hasil jaringan tunggal Kevin De Bruyne yang memastikan kemenangan 1-0 ke atas Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi tadi.

Kemenangan tipis pada aksi timbal balik suku akhir di Etihad itu begitupun sudah cukup buat City untuk mara selepas aksi sebelum ini di laman lawan berakhir dengan keputusan 2-2, minggu lalu.

City berpeluang di depan pada babak pertama namun Sergio Aguero gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum jaringan De Bruyne pada minit ke-76 memastikan City layak dengan agregat 3-2.

Ketinggalan 15 mata daripada pendahulu Liga Perdana Inggeris dan dianggap sebagai bukan pilihan, City kini berpeluang untuk menebus maruah dengan menjuarai Liga Juara-Juara di bawah bimbingan Manuel Pellegrini yang akan melepaskan jawatannya kepada Pep Guardiola, musim depan.

“Ia adalah pencapaian yang hebat untuk kelab, bukan saja untuk berada di kedudukan empat terbaik di Eropah, namun juga menerusi gaya permainan kami yang tidak berubah,” kata Pellegrini.

De Bruyne meraikan jaringan semasa menentang PSG di Stadium Etihad kelmarin. – AFP
De Bruyne meraikan jaringan semasa menentang PSG di Stadium Etihad kelmarin. – AFP

“Kevin De Bruyne adalah penting buat kami. Kami memang layak mendapat gol sebelum dia menjaringkan gol. Kami mendominasi perlawanan daripada awal sehingga penghujung.”

Kekalahan jelas sesuatu yang pahit buat pengurus PSG, Laurent Blanc yang kehilangan Thiago Motta akibat kecederaan lantas menghadirkan penyingkiran di peringkat suku akhir buat kali keempat berturut-turut.

Juara Perancis itu sekali lagi terpaksa akur kekuatan mereka hanya di peringkat domestik ketika penyerang sensasi, Zlatan Ibrahimovic yang kontraknya akan berakhir pada penghujung musim ini berkemungkinan akan angkat kaki selepas ini.

“Jika kami analisa kedua-dua perlawanan, ketika kami berada pada tahap paling baik, kami tidak cukup klinikal,” kata Blanc. “City lebih klinikal dan kerana itu mereka layak. Tahniah kepada mereka.”