De Bruyne milik Man City

De Bruyne milik Man City

-

LONDON, 31 Ogos (AFP) – Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City hari ini mengumumkan bintang Belgium, Kevin De Bruyne (gambar) dari kelab Wolfsburg di Jerman menandatangani kontrak enam tahun bersama kelab itu.

City bagaimanapun tidak mendedahkan berapa bayaran yang dibuat bagi mendapatkan pemain berusia 24 tahun itu yang juga bekas pemain Chelsea, namun media Britain melaporkan yuran perpindahannya mencatat rekod tertinggi iaitu 58 juta pound atau AS$89.3 juta.

“Saya mahu melangkah ke peringkat tertinggi sebagai seorang pemain dan saya fikir perkara paling penting ialah pada penamat musim kami semua bola bergembira dan mungkin mendapat beberapa piala,” kata De Bruyne dalam satu kenyataan dalam laman web City serta memuat naik gambar jersi nombor 17 kelab itu.

Perjanjian itu mengatasi 49 juta pound yang dibayar City kepada Liverpool untuk mendapatkan Raheem Sterling dan mengatasi rekod perpindahan di Bundesliga Jerman dengan rekod 41 juta euro apabila Liverpool membayar kepada Hoffenheim untuk mendapatkan pemain tengah Brazil, Roberto Firmino pada Julai lalu.

Ia juga meningkat tiga kali ganda yuran 18 juta pound yang dibayar Wolfsburg kepada Chelsea untuk memperoleh De Bruyne pada Januari 2014.

“Kami amat gembira untuk mendapatkan khidmat Kevin dalam pasukan kami dan saya yakin kami akan memperoleh kejayaan besar apabila dia kembali semula ke Liga Perdana Inggeris bersama kami,” kata Pengurus City, Manuel Pellegrini.