De Gea kurang fokus

De Gea kurang fokus

MANCHESTER, 11 Ogos – Pengurus Manchester United Louis van Gaal percaya penjaga gol David de Gea mungkin diturunkan pada perlawanan akan datang walaupun namanya diketepikan pada perlawanan pembukaan Liga Perdana menentang Tottenham Hotspur.

Nama pemain antarabangsa Sepanyol itu tidak ada dalam senarai pemain United ketika menang 1-0 di Old Trafford dan kelibatnya dilihat di tempat duduk khas selepas Van Gaal memutuskan bahawa pemain itu tidak dapat menumpukan perhatian selepas dikaitkan dengan spekulasi perpindahan ke Real Madrid.

Van Gaal meletakkan kepercayaannya kepada Sergio Romero yang menyertai United secara percuma sebelum musim bermula apabila dilepaskan Sampdoria dan dia beberapa kali menyelamatkan pintu gol United dari dibolosi lawan.

Begitupun, Van Gaal menafikan khabar angin yang menyebut De Gea tidak akan lagi mewakili kelabnya dan mendedahkan bahawa keputusan untuk mengenepikan penjaga gol berusia 24 tahun itu dibuat atas persetujuan pemain terbabit atas alasan tidak dapat menumpukan perhatian.

“Adakah dia (De Gea) boleh bermain untuk United lagi? Sudah tentu,” kata pengendali Belanda itu. “Posisi selaku penjaga gol memerlukan seseorang itu menumpukan sepenuh perhatian sepanjang 90 minit permainan.

David de Gea (tengah) menyaksikan perlawanan United dan Hotspur dari tempat duduk penonton di Old Trafford pada 8 Ogos lalu. – AFP
David de Gea (tengah) menyaksikan perlawanan United dan Hotspur dari tempat duduk penonton di Old Trafford pada 8 Ogos lalu. – AFP

“Apabila anda berada di kedudukan seperti apa yang sedang dialami David de Gea, sukar untuk anda menumpukan perhatian. Kami sudah melihat perkara itu.

“Kami sudah membuat penilaian ketika sesi latihan akhir, dalam perlawanan menentang PSG dan Barcelona. Ketika itu, aksi David de Gea tidak sama seperti yang dipamerkan musim lalu.”

Van Gaal turut memberi petanda bahawa beliau tidak akan menyenaraikan De Gea hingga tempoh perpindahan ditutup bulan depan dan memuji Romero atas aksi yang ditunjukkan pemain itu.

“Sudah tentu apabila situasi kembali tenang selepas 1 September, kami akan kaji semula,” kata Van Gaal. “Tetapi, saya gembira apabila Sergio bermain cemerlang.

“Sergio menyelamatkan gawang kami dua kali dan itu petanda baik. Sergio hanya berlatih dua hari bersama kami.

“Sudah tentu tahap persefahamannya bersama pemain lain belum begitu baik tetapi apa yang penting dia berjaya menghalang bola dari menerjah jaring,” tambah Van Gaal. – AFP