De Gea masih berteka-teki

De Gea masih berteka-teki

MANCHESTER, 19 Mei – Masa depan penjaga gol Manchester United David de Gea masih tergantung selepas pengurus Louis van Gaal mengesahkan Real Madrid masih lagi berusaha mendapatkan khidmat pemain itu.

De Gea terpaksa dikeluarkan gara-gara kecederaan hamstring ketika United seri 1-1 dengan Arsenal kelmarin dan ketika Real difahamkan menyediakan dana besar untuk membelinya, aksi di Old Trafford itu mungkin menjadi yang terakhir bagi penjaga gawang berkenaan.

Ketika Van Gaal mengaku tidak tahu sama ada Real sudah membuat tawaran rasmi untuk De Gea atau belum, beliau berkata kelabnya memang sukar untuk terus menahan pemain berusia 24 tahun itu.

Ditanya adakah De Gea benar-benar mahu berpindah, Van Gaal membalas: “Anda bertanya soalan yang saya tidak boleh jawab kerana saya tidak tahu.

Penjaga gol Manchester United, David de Gea terduduk di atas padang selepas cedera semasa menentang Arsenal di Old Trafford kelmarin. - AFP
Penjaga gol Manchester United, David de Gea terduduk di atas padang selepas cedera semasa menentang Arsenal di Old Trafford kelmarin. – AFP

“Saya pernah berkata perpindahan perkara peribadi. Ia juga satu proses. Dia yang perlu memutuskan kehendaknya. Kami sudah menawarkan kontrak berpatutan kerana mahu dia terus di sini.

“Tetapi saya juga membuat analisis terhadap posisinya dan dapati dia berbangsa Sepanyol. Dia mewakili skuad kebangsaan Sepanyol dan masih di belakang Iker Casillas. Kini, dia menerima tawaran daripada kelab Sepanyol.

“Teman wanitanya juga berbangsa Sepanyol, ibu bapanya datang setiap dua minggu untuk menyaksikan permainannya dan ia bukan mudah baginya. Ia satu kebanggaan buat Manchester United jika dapat terus menggunakan khidmatnya.”

United dilihat cukup selesa berurusan dengan Real kerana sebelum ini, mereka pernah meminjamkan Javier Hernandez ke Bernabeu selain menjual David Beckham, Gabriel Heinze dan Ruud van Nistelrooy ke kelab itu.

Tetapi mereka juga pernah resah selepas menjual Cristiano Ronaldo pada 2009.

Media Britain melaporkan United sudah mencari pengganti sesuai untuk De Gea dengan penjaga gawang Tottenham Hotspur, Hugo Lloris serta penjaga gol Chelsea, Petr Cech antara pemain yang dikaitkan dengan Old Trafford. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA