De Gea nafi pemain pertikai Louis van Gaal

De Gea nafi pemain pertikai Louis van Gaal

MANCHESTER, 18 Dis (AFP) – Penjaga gol David de Gea menepis laporan berlakunya rasa tidak puas hati dalam bilik persalinan Manchester United dan memuji ketua pasukan Wayne Rooney kerana berjaya menyatukan pasukan dan membuat mereka fokus kepada satu matlamat.

United kini di tempat keempat carta Liga Perdana dan telah dikritik teruk kerana mempamerkan permainan yang hambar musim ini, termasuk kurang kreatif dan terlalu memberi penekanan kepada menguasai bola.

Pasukan itu tersingkir daripada Liga Juara-juara minggu lalu, menyebabkan pengurus Louis van Gaal dikritik lagi dan timbul laporan bahawa pemain-pemain senior telah mempersoalkan caranya ketika di dalam bilik persalinan.

“Suasana sungguh hebat. Kami sangat bersatu. Mereka ialah kawan-kawan yang hebat dan kami semua sangat gembira dengan kumpulan pemain yang kami ada,” kata De Gea dalam laman web kelab itu.

“Saya fikir ini adalah sangat penting jika pasukan ini mahu memenuhi impian besar. Liga ini sangat getir untuk dimenangi dan akan terdapat beberapa pasukan yang berebut gelaran juara.

David de Gea (kiri) menepis laporan berlakunya rasa tidak puas hati terhadap pengendalian Van Gaal di Manchester United. – Reuters
David de Gea (kiri) menepis laporan berlakunya rasa tidak puas hati terhadap pengendalian Van Gaal di Manchester United. – Reuters

“Itulah yang kami mahukan, kekal dekat dengan tempat teratas, dan berada di kedudukan untuk memenangi liga pada April nanti. Itulah yang akan cuba kami lakukan,” katanya lagi.

Penjaga gol itu turut memuji pengaruh Rooney ke atas sikap pa­sukannya.

Ketua pasukan United itu tidak bermain dalam tiga perlawanan terakhir dalam semua pertandingan kerana cedera buku lali tetapi De Gea berkata pentingnya Rooney kepada pasukan melampaui sumbangannya di atas padang.

“Selaku ketua pasukan kami dia adalah personaliti yang hebat. Dia sentiasa cuba memberi sema­ngat kepada kami. Apabila keadaan menjadi buruk, dia yang sentiasa bercakap dan memberi kami semangat.

“Dia telah memecahkan semua jenis rekod untuk jumlah jaringan dan jumlah perlawanan dan saya percaya dia memang layak mendapatnya kerana dia adalah seorang pemain yang hebat,” katanya.

United akan melayan kunjungan pasukan di tempat ke-18 Norwich City untuk perlawanan liga pada Sabtu ini.

ARTIKEL YANG SAMA